Anda di sini

Beberapa kedai serbaneka 24 jam jadi sasaran perompak

Advertisement

KUCHING: Selepas kedai serbaneka 24 jam di Tabuan Plaza dirompak kira-kira jam 2.30 pagi semalam, tidak lama kemudian kedai serbaneka 24 jam di Satok dan di Jalan Stutong Baru pula disamun apabila pekerja kedai-kedai itu diacu pisau.

Rompakan pertama itu berlaku kira-kira jam 2.30 pagi apabila seorang lelaki dipercayai mabuk melarikan tiga botol minuman keras.

Suspek lelaki yang berusia 23 tahun itu dikatakan masuk semula dan menendang kaunter pembayaran sebelum mengambil satu botol lalu membalingnya ke arah juruwang.

Juruwang berumur 20 tahun berkenaan yang sempat mengelak terus memaklumkan insiden itu kepada pengurus stor sebelum menghubungi polis.

Susulan panggilan kecemasan itu, tindakan pantas sepasukan polis daripada Balai Polis Tabuan Jaya membuahkan hasil apabila pasangan yang dalam keadaan mabuk itu berjaya ditangkap.

Manakala kira-kira jam 3.30 pagi, rangkaian kedai itu di Satok pula dirompak seorang lelaki yang bersenjatakan pisau.

Namun, tidak ada kecederaan dilaporkan dan suspek hanya mengambil dua bungkus rokok sebelum melarikan diri.

Kira-kira jam 6 pagi pula, seorang juruwang kedai serbaneka 24 jam di Stutong Baru mengalami detik mencemaskan apabila diacu pisau lipat.

Suspek itu dikatakan ingin membeli dua bungkus rokok sebelum mengeluarkan pisau lipat.

Dia kemudiannya mengarahkan pengadu membuka mesin wang dan mengambil duit di dalamnya sebelum melarikan diri dengan menaiki Perodua Kancil.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi mengesahkan insiden tersebut.

Siasatan masih diteruskan.

Advertisement