Anda di sini

Barisan peneraju baharu FAM janjikan perubahan bola sepak negara

Advertisement

SHAH ALAM: Barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjanji akan membawa perubahan kepada corak pengurusan badan induk itu kepada satu tahap yang lebih baik bagi memperkasakan sukan bola sepak negara.

Kehadiran 10 muka baharu dalam barisan exco FAM yang dipilih menerusi undian pada Kongres Tahunan ke-50 sudah jelas memberi gambaran awal bahawa berlaku perubahanan besar dalam pentadbiran FAM pada masa akan datang.

Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda mempunyai dua visi tersendiri iaitu meningkatkan mutu sukan bola sepak negara dan merakyatkan sukan tersebut dalam jangka masa empat tahun.

Tengku Abdullah bertitah semua pihak dalam FAM perlu kembali bersama dan memperbetulkan kekurangan yang ada dan baginda bersedia untuk menerima pandangan daripada sesiapa sahaja.

Baginda bertitah ingin memulakan tugas sebagai presiden dengan langkah yang baik kerana ‘perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah yang baik’.

“Saya perlukan masa untuk berbincang dengan timbalan presiden, naib presiden dan exco yang baru dilantik terlebih dahulu sebelum mengumumkan rancangan yang bakal dilaksanakan oleh kepimpinan baharu FAM,” titah baginda pada sidang media selepas kongres di sini semalam.

Baginda bertitah kejayaanya memenangi jawatan presiden FAM bukan satu kejayaan tetapi satu tanggungjawab besar yang harus dipikul dan dilaksana secara bersama antara kerajaan, individu dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam bola sepak.

“Usaha memperkasakan sukan bola sepak perlu dilakukan secara bersama dan ia adalah merupakan agenda nasional yang seharusnya direalisasikan oleh semua orang,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah setiap pemain kebangsaan perlu ada semangat untuk mencari kemenangan dan sekiranya perkara tersebut tidak terdapat dalam diri mereka perubahan pada kepimpinan FAM tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada mutu bola sepak negara.

Timbalan presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata adalah menjadi tugasnya sebagai pembantu presiden untuk menjayakan hasrat presiden baharu FAM yang ingin membawa perubahan positif dan apa yang lebih penting adalah melipat gandakan usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negara.

Afandi berkata selain menjayakan hasrat presiden, beliau akan meneruskan usaha bagi merealisasikan penswastaan Liga Malaysia menjelang tahun 2015.

Sementara itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yakin dengan kemampuan Tengku Abdullah yang dilihat mampu untuk membawa pembaharuan dalam usaha mengangkat martabat bola sepak negara.

Bagaimanapun, baginda bertitah segala usaha itu perlu diiringi dengan kerjasama daripada anggota jawatankuasa yang juga menampilkan beberapa muka baharu dalam barisan pimpinan FAM.

“Saya berharap anakanda saya akan berusaha untuk kebaikan bola sepak di Malaysia dan saya percaya anakanda saya dapat laksanakan tanggungjawab itu.

“Perkara utama untuk hendak memajukan dan menaik taraf bola sepak negara adalah kita kena sabar. Ini tidak boleh dilakukan semalaman. Tengku Mahkota dan barisan baharu juga perlukan masa,” titah baginda.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yakin dengan keupayaan Tengku Abdullah memimpin dua persatuan sukan besar iaitu FAM dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Bagi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Datu Sudarsono Osman berjanji akan melaksanakan tugas sebaik mungkin dalam membantu melonjakkan semula martabat bola sepak negara.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu menzahirkan janjinya sebagai balasan kepada kepercayaan yang diberikan oleh badan induk bola sepak negara itu kepadanya untuk berada dalam barisan Exco FAM bagi penggal 2014-2018.

Sudarsono dilantik sebagai Naib Presiden FAM baharu setelah meraih 26 undi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FAM 2014-2018 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

“Saya berasa amat terharu apabila terpilih untuk jawatan ini dan ingin merakamkan terima kasih kepada delegasi yang memilih saya,” kata Sudarsono ketika diminta mengulas pemilihannya sebagai naib presiden FAM semalam.

Menurut Sudarsono, beliau akan cuba sedaya upaya untuk membantu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara yang pernah dikecapi satu ketika dahulu.

“Memang satu cabaran bagi saya apabila menjadi sebahagian daripada Exco FAM, apapun saya akan cuba memberikan khidmat yang terbaik,” katanya.

Advertisement