Anda di sini

Anifah akhiri lawatan di New York dengan perbincangan peringkat tinggi

Advertisement

NEW YORK: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengakhiri lawatan enam hari beliau di New York dengan mengadakan perbincangan peringkat tinggi dengan diplomat asing dan pegawai kanan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Beliau turut melawat pameran foto di pejabat PBB yang memaparkan peranan Malaysia dalam Operasi Misi Pengaman PBB (UNPKO) dalam tempoh 56 tahun lepas.

Malaysia sedang berusaha melobi pencalonannya bagi menduduki kerusi tidak tetap Majlis Kesalamatan PBB (UNSC) bagi penggal 2015-2016.

Berucap kepada sejumlah besar wakil tetap pelbagai negara pada jamuan tengah hari, Anifah berkata Malaysia sebelum ini telah tiga kali menduduki kerusi (UNSC), bermula bagi penggal 1964/1965 apabila ia berkongsi dengan Czechoslovakia dengan masing-masing bagi tempoh setahun, kemudian bagi penggal 1989/1990 dan seterusnya pada 1999/2000.

Secara berseloroh, Anifah berkata: “Kami tidak mahu merumitkan keadaan. Kami tawarkan anda penyelesaian mudah: Kami satu-satunya calon (dari Asia), jadi memudahkan anda untuk membuat keputusan bagi calon tunggal!”

“Kami percaya kepada kesederhanaan dan dialog. Keamanan dan keselamatan menerusi kesederhanaan menjadi pegangan dan matlamat kami selama ini. Malaysia telah berusaha keras untuk kekal aman dan stabil…kami berjaya melakukannya menerusi penerimaan semua bangsa dan agama di negara kami,” katanya.

Anifah memberitahu dilpomat berkenaan bahawa beliau berkunjung ke New York “untuk secara peribadi mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka kepada Malaysia dan bagi menyatakan penghargaan ikhlas saya.”

Antara isu yang mungkin dibangkitkan Malaysia dalam UNSC termasuk isu Palestin, wanita dan kanak-kanak yang terperangkap di kawasan konflik dan misi pengaman.

Bercakap kepada Bernama kemudiannya, Anifah mengimbas pertemuannya dengan Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon selepas jamuan tengah hari itu.

“Pertemuan dengan Ban berjalan dengan mesra dan santai. Kami juga secara ringkas membincangkan tentang pelbagai perkara seperti perubahan iklim, Syria dan Ukraine.

“Beliau turut menyatakan simpati dengan kehilangan pesawat MAS MH370, dan juga meminta saya menyampaikan rasa simpati beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu,” katanya. — Bernama

Advertisement