Anda di sini

SPR jangka 78% keluar mengundi di Bukit Gelugor

Advertisement

Keputusan PRK Bukit Gelugor dijangka diketahui 9 malam

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka peratusan yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor hari ini sekitar 78 peratus.

Pemangku Pengarah SPR Pulau Pinang Azizal Ahmad berkata jangkaan itu berdasarkan trend pengundian dan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya terdahulu.

“Kebiasaannya kalau pilihan raya kecil ini jumlah pengundi yang akan keluar mengundi tidak seramai pilihan raya umum. Jadi, kami anggarkan 76 ke 78 peratus pengundi akan keluar mengundi esok (hari ini),” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata sebanyak 68 undi pos sudah diterima.

Rabu lepas, 83.1 peratus atau 123 daripada 148 pengundi awal di Parlimen itu melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ditanya mengenai persiapan akhir untuk hari pengundian esok (hari ini), Azizal berkata kerja-kerja pemeriksaan peti undi di Dewan Sri Pinang yang bermula jam 9 pagi semalam sehingga 1 petang berjalan lancar.

“Esok (hari ini), seawal jam 6 pagi setiap ketua pusat mengundi akan datang semula ke Dewan Sri Pinang untuk mengambil semua peralatan yang mereka sediakan dan bergerak bersama polis pengiring peti undi ke pusat mengundi masing-masing,” katanya.

Sebanyak 17 pusat daerah mengundi akan dibuka pada pilihan raya kecil itu dengan 139 saluran untuk undi biasa.

Keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor dijangka diketahui seawal jam 9 malam ini.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP akibat kemalangan jalan raya di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak, 17 April lepas.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan saingan empat penjuru antara calon DAP Ramkarpal Singh Deo, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan dan dua calon Bebas Mohd Nabi Bux Mohd Abdul Sathar serta Abu Backer Sidek Mohammad Zan.

Kesemua calon yang bertanding bukan pengundi di kawasan Parlimen berkenaan, kata Azizal. — Bernama

Advertisement