Anda di sini

Ngap Sayot tumbang Tok Gajah

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Skuad bola sepak S’wak mulakan langkah kanan saingan Kumpulan A SUKMA XVII Perlis

PERLIS: Skuad bola sepak SUKMA XVII Sarawak memulakan saingan peringkat Kumpulan A dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan skuad Tok Gajah, Pahang 3-1 di Padang Rani, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, di sini semalam.

Semua gol Sarawak dijaringkan dalam tempoh tujuh minit terakhir separuh masa pertama, manakala gol sagu hati Pahang diperolehi pada separuh masa kedua menerusi sepakan penalti.

Pemain kelahiran Kuching, Abdul Rahim Abdul Razak muncul wira skuad Ngap Sayot dengan menyumbat dua gol pada minit ke-43 dan 45.

Penyerang itu juga menjadi pencetus kepada jaringan pertama Sarawak yang disempurnakan oleh Mohamad Ibrahim Jobeli pada minit ke-41.

Pahang yang juga semi finalis pada SUKMA 2012 di Kuantan memperbaiki corak permainan dan lebih banyak mengasak kubu Sarawak pada separuh masa kedua.

Bagaimanapun, usaha mereka sering dipatahkan oleh kecekapan penjaga gol Sarawak, Florian Rison Laes.

Sarawak turut memiliki beberapa peluang keemasan untuk menambah koleksi gol namun gagal diterjemahkan oleh barisan penyerang.

Hasrat Pahang untuk mengurangkan defisit jaringan akhirnya berhasil setelah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-85.

Mohamad Azrul tidak mensia- siakan peluang keemasan itu menjadikan kedudukan 3-1 sehingga tamat masa perlawanan.

Sarawak menduduki tangga kedua setelah tuan rumah, Perlis mencatat kemenangan 3-0 menewaskan Sabah dalam satu lagi saingan.

Ketua Jurulatih Sarawak, Johnny Dominicus melahirkan rasa puas hati dengan persembahan anak-anak buahnya setelah berjaya mengutip tiga mata penting pada perlawanan pertama.

“Tahniah kepada semua pemain kerana telah menunjukkan permainan yang cukup menarik,” katanya mengulas perlawanan itu semalam.

Menurut Johnny, beberapa percaturan yang dirancangnya berjaya membuahkan hasil yang diharapkan.

“Kemenangan ini berjaya dicapai kerana pemain-pemain beraksi mengikut apa yang telah dirancang.

“Bagaimanapun, saingan masih terbuka dan saya berharap semua pemain mengekalkan momentum seperti ini bagi memastikan laluan kita ke suku akhir cerah,” katanya.

Advertisement