PERLIS: Malang menimpa skuad hoki lelaki Sarawak setelah dimalukan dengan kekalahan besar 8-1 di pangkuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada perlawanan pertama Kumpulan B di Padang Hoki SMK Kuala Perlis semalam.
Skuad kendalian Sri Sakrunathan Subramaniam itu jelas dikuasai barisan pemain Kuala Lumpur apabila dibolosi mudah dengan 4-0 pada separuh masa pertama.
Kuala Lumpur menggandakan tekanan pada separuh masa kedua dan berjaya menambah empat lagi jaringan tambahan.
Sarawak akhirnya berjaya memperolehi jaringan sagu hati pada minit ke-60 menerusi Micheal Plani Daraman.
Meskipun kecewa dengan kekalahan pertama itu, Sakrunathan tetap optimis anak-anak buahnya mampu kembali menemui rentak kemenangan pada perlawanan seterusnya nanti.
“Kita masih berpeluang kerana banyak lagi perlawanan yang perlu dihadapi,” katanya ditemui semalam.
“Namun, pemain-pemain harus belajar daripada kekalahan ini dan memperbaiki permainan masing-masing jika berhasrat untuk memburu kemenangan,” katanya.
Sarawak akan menentang Pulau Pinang di venue sama hari ini.
Manakala saingan hoki wanita juga akan bermula hari ini dengan Sarawak memulakan kempen menentang Negeri Sembilan.