Anda di sini

Ketiadaan ‘jeneral’ melumpuhkan skuad Sarawak

Advertisement

KUCHING: Ketiadaan ‘jeneral’ di benteng pertahanan menyebabkan Sarawak melepaskan empat gol yang menyaksikan anak-anak buah Robert Alberts tewas 4-1 kepada Perak di Stadium Ipoh, malam kelmarin.

Tanpa pertahanan kental, Gabor Gyepes dan Ronny Harun yang mengalami kecederaan, benteng pertahanan Sarawak seakan-akan hilang punca apabila gagal menghalang penyerang Perak diketuai Milan Purovic dan Marco Tulio.

Alberts yang dihubungi semalam berkata, benteng pertahanan gagal mengekang asakan yang dilakukan Perak sehingga melakukan banyak kesilapan mudah.

Menurutnya, ketiadaan Gabor dan Ronny memang dirasai kerana ia memberi impak negatif kepada benteng pertahanan.

“Saya memang kecewa dengan keputusan ini. Pertahanan kita gagal mengekang asakan pasukan tuan rumah (Perak) sehingga menyebabkan berlaku beberapa kesilapan mudah,” katanya.

Selain itu jelasnya, pemain tengah dan penyerang tidak bermain secara berpasukan sebaliknya lebih kepada individu dan menyebabkan sukar untuk menjaringkan gol.

“Memang kita mempunyai peluang namun disebabkan pemain bermain secara individu maka peluang terhidang gagal dimanfaat dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Perlawanan itu juga menyaksikan Sarawak bermain tanpa Joseph Kalang Tie dan Mohd Rashid Aya yang digantung perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut Perak mendahului Sarawak pada minit ke-25 menerusi penyerang import, Marco Tulio.

Seorang lagi penyerang import Perak, Milan Purovic menambah kedukaan Sarawak apabila menjaringkan gol pada minit ke-51 sebelum Muhammad Nurhakim Isa mencetak nama sebagai penjaring selang lapan minit kemudian.

Sarawak memperolehi gol saguhati pada minit ke-63 menerusi Ryan Alan Griffiths.

Marco menambah duka Sarawak dengan jaringan keempat Perak pada minit ke-66.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Sarawak menanti kunjungan T-Team di Stadium Negeri pada 10 Jun.

Advertisement