Anda di sini

Kerajaan sasar 50% petani, nelayan bebas orang tengah pada 2020

Advertisement

IPOH: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan sebanyak 50 peratus petani dan nelayan dapat membebaskan diri daripada orang tengah menerusi program Jihad Memerangi Orang Tengah Bagi Subsektor Sayur, Buah, Perikanan dan Padi, menjelang tahun 2020.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan program yang mempunyai pelbagai inisiatif itu dapat mengurangkan golongan petani dan nelayan daripada belenggu orang tengah yang mengaut keuntungan daripada hasil jualan mereka.

“Saya tak boleh katakan orang tengah ini boleh dihapuskan terus. Kita tidak boleh memaksa nelayan dan petani memilih alternatif yang kerajaan berikan kerana sesetengah mereka rasa selesa dengan orang tengah. Untuk keluarkan mereka daripada dibelenggu orang tengah ini memakan masa,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran ‘Jihad Memerangi Orang Tengah Subsektor Sayur dan Buah’ di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Pengerusi Tekun Nasional Datuk Hamidah Osman.

Ismail berkata untuk tahun ini kerajaan menyasarkan sebanyak 10 peratus isu orang tengah dapat diselesaikan memandangkan program tersebut baharu dilancarkan dan permulaannya adalah dengan memberi kesedaran kepada petani dan nelayan tentang kesan buruk menggunakan rantaian orang tengah.

Berhubung program Jihad Memerangi Orang Tengah Subsektor Sayur dan Buah, beliau berkata sebanyak 10 strategi utama disediakan bagi membebaskan golongan itu daripada cengkaman orang tengah.

Ismail berkata antara pendekatan diambil termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan RM80 juta oleh Agrobank kepada pengeluar dan pemasar selain pembiayaan RM40 juta di bawah Skim Tekun Niaga.

Berhubung aduan petani bahawa mereka mengalami kesukaran untuk membuat pinjaman, beliau berkata: “Kita telah membuat satu peraturan, untuk pembiayaan Agrobank kita akan lihat kalau daripada awal petani tidak pernah tidak bayar balik pinjaman (sebelum ini), kita akan pertimbangkan pinjaman itu.”

Katanya pendekatan lain adalah sebanyak 792 buah lori daripada pelbagai jabatan dan agensi disediakan bagi membantu pemasaran buah-buahan bermusim di seluruh negara.

Beliau berkata program ladang kontrak akan diperluaskan untuk sayur-sayuran dan buah-buahan membabitkan 1,000 hektar dan 587 peserta di Projek Taman Kekal Pengeluaran Pertanian dan Projek Kelompok Jabatan Pertanian.

Selain itu, Ismail berkata turut disediakan sebanyak 276 Pusat Pengumpulan Ladang yang dikendalikan oleh Petubuhan Peladang Kawasan di seluruh negara.

“Komitmen kerajaan khususnya kementerian tidak berakhir kerana kerajaan akan menambah sebanyak 60 pasar tani menjelang hujung tahun ini. Ini adalah bagi mengelakkan petani menerima hasil jualan pada harga rendah yang ditentukan oleh peraih dan tidak berbaloi dengan kerja keras mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement