Anda di sini

Kempen BN utamakan kehendak dan minat pengundi Teluk Intan

Advertisement

TELUK INTAN: Pendekatan jentera Barisan Nasional (BN) dalam meraih sokongan masyarakat di Teluk Intan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen kawasan itu kali ini berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini apabila lebih mengutamakan kehendak dan minat kumpulan sasaran.

Ketua Umno Bahagian Sungai Siput Datuk Mohd Zolkafly berkata program kempen di Sungai Bugis di sini disusun mengikut cita rasa penduduk yang tidak mahu sesuatu program berskala besar.

“Peti Daerah Mengundi (PDM) di Sungai Bugis majoritinya masyarakat berketurunan Jawa yang mementingkan aspek keagamaan. Selain program ziarah rumah ke rumah, kita juga mendapatkan kerjasama mereka untuk mengadakan kenduri doa selamat, bacaan Yasin, minum petang dan aktiviti santai, ia suatu pendekatan baharu yang kita buat untuk PRK ini,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata sepanjang seminggu berada di sana, penduduk di Sungai Bugis yang kebanyakannya bekerja di ladang kelapa sawit milik syarikat konglomerat serta persendirian memberi respons yang sangat baik kepada pendekatan seperti itu.

Selain itu, katanya, apa sahaja masalah yang dihadapi penduduk seperti masalah jalan yang masih tidak baik dan belum dibina yang dibangkitkan juga terus disampaikan kepada pihak atasan untuk tindakan lanjut tanpa menunggu kempen PRK selesai.

“Kali ini juga kita membawa agensi yang kita rasa boleh membantu untuk keselesaan penduduk Sungai Bugis serta-merta seperti Perpustakaan Negara untuk galakkan sikap suka membaca serta Yayasan 1Malaysia Development Berhad  (1MDB) untuk pemeriksaan mata dan pemberian cermin mata,” katanya.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kampar Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata PDM Nova Scotia menjadi kawasan angkat bahagian itu sepanjang tempoh kempen PRK Teluk Intan dan pelbagai program disusun Wanita khusus untuk pengundi di situ yang majoritinya kaum India.

“Kita menggunakan konsep menyusur akar pada PRK Parlimen Teluk Intan ini, tanpa program bersifat besar-besaran. Kita berjumpa setiap pengundi serta kumpulan kecil-kecil sahaja, program yang disusun juga lebih spesifik kepada sasaran seperti gologan wanita dengan aktiviti demonstrasi masakan dan kraf tangan, kesihatan, kecantikan serta kebajikan,” kata Nolee Ashilin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Perak.

Beliau berkata pendekatan seperti itu sebenarnya lebih memberi kesan kepada para pengundi untuk berada lebih dekat dan lebih mengenali siapa parti Barisan Nasional.

“Kita juga bertanya isu serta masalah yang dihadapi mereka, kita telah senaraikan untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk tindakan. Setakat ini penerimaan mereka terhadap BN adalah baik,” katanya. — Bernama

Advertisement