Anda di sini

Karate hadiahkan gangsa pingat pertama

Advertisement

PERLIS: Acara karate do menghadiahkan pingat pertama buat Sarawak pada SUKMA XVII yang berlangsung di Dewan Sri Kayangan, Kolej Matrikulasi Perlis semalam.

Kaartic Chiramjeevi menggondol gangsa dalam acara kumite lelaki bawah 55kg setelah menewaskan atlet Pulau Pinang Kuan U Gene dengan kiraan mata 4-1.

Beliau menewaskan Abang Muhammad Hasif Abang Perwira dari Brunei dengan 9-1 pada pusingan pertama.

Bagaimanapun, pada pusingan kedua Kaartic tewas di tangan atlet Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Prem Kumar Selvam dengan kiraan mata 3-0.

Kekalahan itu memaksa Kaartic bertarung di peringkat ‘repercharge’ sebelum berjaya menewaskan Kuan bagi membawa pulang gangsa.

“Saya sangat gembira setelah berjaya membantu menyumbang pingat pertama untuk Sarawak pada SUKMA kali ini.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan buat kedua jurulatih saya yang selama ini bertungkus-lumus melatih kami. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa tunjuk ajar daripada mereka,” katanya di sini semalam.

Hari ini, Kaartic akan bertarung dalam kategori Kata berpasukan lelaki berpasukan dan Kata berpasukan wanita.

Advertisement