Anda di sini

Hasrat raih pingat pertama dalam acara kayak tidak kesampaian

Advertisement

PERLIS: Hasrat Sarawak untuk meraih pingat pertama dalam acara kayak tidak kesampaian setelah Vivien Rekan sekadar menduduki tempat keempat dalam perlumbaan akhir K1 1000m wanita di Tasik Timah Tasoh semalam.

Emas dimenangi pekayuh Terengganu, Nor Azita dengan catatan masa 05:07.710s manakala perak milik Norfatinah dari Pahang dengan 05:12.700s.

Gangsa dirangkul pekayuh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Aimi ‘Ayuni dengan catatan masa 05:26.550s.

Vivien gagal mengulangi masa terbaik 05:22.05s yang dicatatkannya dalam perlumbaan saringan pertama apabila sekadar merekod 05:55.840s pada saingan terakhir.

Kegagalan Vivien melengkapkan hari hambar skuad kayak negeri dengan beberapa acara yang disertai semalam turut terkandas.

Dalam acara saringan kedua K1 1000m lelaki, pekayuh Sarawak Nur Fikri Hafizi sekadar menduduki tempat keempat.

Manakala dalam perlumbaan saringan K4 1000m wanita, Sarawak sekadar meraih tempat ketiga.

Dua lagi acara, K2 dan K4 1000m lelaki dan wanita gagal menempah sebarang slot ke pusingan seterusnya setelah karam semasa perlumbaan saringan.

Pengurus Pasukan, Tedung Bugak berkata pekayuh Sarawak telah memberikan yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi mereka dalam beberapa perlumbaan saringan.

“Nasib kita tidak berapa baik hari ini kerana pelumba kita karam dalam beberapa perlumbaan.

“Ini menjejaskan peluang kita untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun, Tedung tetap melahirkan rasa bangga dengan kemampuan Vivien untuk bersaing dalam perlumbaan akhir K1 1000m wanita.

Sekali pun sekadar menduduki tempat keempat, beliau berjaya memberikan saingan sengit kepada pekayuh lain, katanya.

Skuad kayak Sarawak akan meneruskan cabaran hari dalam acara K1, K2 dan K4 500m lelaki dan wanita.

Advertisement