Anda di sini

DNA babi dalam dua produk

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) dikesan mengandungi DNA babi (porcine).

DNA khinzir itu dikesan Kementerian Kesihatan dalam sampel Coklat Susu dengan Kacang Hazel bernombor kelompok (batch no) NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 November 2014 dan Coklat Susu dengan Buah Badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Januari 2015.

Ketika memaklumkan perkara itu dalam kenyataan semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata analisis terhadap Cadbury Dairy Milk Chocolate bagaimanapun tidak menemui kandungan DNA tersebut.

Isu pengesanan DNA babi dalam produk Cadbury tersebar luas di media sosial sejak semalam yang memaparkan keputusan analisis terhadap dua produk berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata ketiga-tiga sampel coklat itu telah diambil untuk analisis DNA babi bagi tujuan pemantauan.

Beliau berkata pengeluar coklat terbabit, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd akan memanggil balik produk-produk itu daripada pasaran dengan serta-merta.

“Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya,” kata Dr Noor Hisham.

Pengguna boleh mengemukakan sebarang soalan kepada Kementerian Kesihatan melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq. — Bernama

Advertisement