Anda di sini

Kuih kering sumber pendapatan Joyah

Advertisement

TAMBAH PENDAPATAN: Joyah bergambar di gerainya yang terletak di kawasan Jambatan Batang Kayan, Lundu.

LOKASI strategik di tengah laluan Kuching ke Daerah Lundu dan pekan Sematan membolehkan industri kotej berkembang dan menjadi pilihan penduduk berjiwa usahawan di Kampung Stunggang Melayu dekat Lundu.

Kebiasaannya, pemandu atau pelancong pasti tidak melepaskan peluang untuk singgah di deretan pondok kedai terletak di kawasan Jambatan Batang Kayan yang menjual pelbagai jenis produk makanan selain produk hasil bumi penduduk sekitarnya.

Bagi produk makanan seperti kuih kering dan keropok, keunikan, keenakan, rupa bentuk, kepelbagaian jenis dan kreativiti pembuatannya menyebabkan orang ramai yang datang pasti rambang mata.

Selalunya, sekiranya pelanggan singgah ke sana mereka pasti membeli kuih dan keropok dengan bajet RM30 hingga RM100.

Ini menunjukkan bahawa keunikan produk yang terdapat di situ amat popular sehinggakan tempat tersebut menjadi lokasi wajib untuk singgah membeli buah tangan kepada keluarga atau sahabat.

Seorang usahawan, Joyah Ismail, 50, berkata, pada musim cuti persekolahan dan hujung minggu merupakan masa ditunggu-tunggu oleh mereka yang berniaga di situ kerana pada masa itulah pelanggan paling ramai singgah.

Berasal dari Kota Samarahan, Joyah memberitahu bahawa dia telah berniaga di situ sejak 12 tahun lalu.

“Saya berpindah ke Kampung Stunggang mengikut suami yang merupakan penduduk dari sini sejak 20 tahun lalu.

“Berbekalkan kemahiran membuat kuih seperti kuih sepit, kerepek dan beberapa lagi saya mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di sini.

“Sejak itu, saya terus berniaga sehinggalah hari ini bagi membantu menambah pendapatan suami,” katanya ketika ditemui pemberita di gerainya baru-baru ini.

Ketika ditanya produk paling laris di gerainya, beliau memberitahu keropok bayam merupakan produk yang menjadi kemestian sekiranya pelanggan datang ke situ.

“Boleh saya katakan di Lundu merupakan satu-satunya tempat menjual keropok bayam dan sebab itulah ramai yang datang ke sini membeli dan mencubanya,” ujarnya.

Tambah ibu kepada lima orang anak ini, pada awal perniagaannya dia menggunakan modal sendiri dan pada masa ini beliau turut membuat pinjaman daripada TEKUN bagi mengembangkan lagi jualannya.

“Selain menjual kuih buatan sendiri, saya juga mengambil produk daripada penduduk,” katanya yang berhasrat ingin memiliki mesin memotong pisang atau ubi namun tidak mampu membelinya.

Menurut Joyah, kuih kering di kedainya dijual dengan harga RM1.30 dan bagi keropok ikan boleh mencecah RM13 mengikut berat dan jenis ikan.

Advertisement