Anda di sini

Ekspedisi mencabar menjejaki sejarah di Ulu Ngemah

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus

 

MENJEJAKI SEJARAH: Para ahli PPUN merakamkan kenangan semasa berhenti rehat di kawasan berbatu Sungai Ngemah.

PERSATUAN Penduduk Ulu Ngemah (PPUN) yang diketuai oleh pengerusinya Tuai Rumah Magai Sawing telah mengadakan ekspedisi ke Ulu Ngemah, baru-baru ini.

Ekspedisi yang disertai oleh 23 orang penduduk asal Ulu Ngemah yang kini menetap di Skim Penempatan Nanga Ngungun dan juga Skim Penempatan Sekuau dekat Sibu telah menggunakan sebanyak enam buah perahu panjang.

Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 10 jam dari Nanga Ngungun ke tapak asal rumah panjang (Tembawai) di muara Sungai Simunjan dan Sungai Ngemah benar-benar mencabar kerana paras air yang rendah, cetek serta keadaan geografi sungai yang berbatu.

Bagaimanapun, cabaran tersebut tetap memberi kepuasan sebenar kepada para peserta ekspedisi.

Ekspedisi ini yang bertujuan untuk melihat kembali dan mengimbas sejarah kedatangan penduduk asal Ulu Ngemah sekitar tahun 1940-an telah membangkitkan nostalgia mereka yang telah menetap di Ulu Ngemah sebelum dipindahkan ke kawasan Nanga Ngungun, Jagau dan juga Sekuau selaras dengan Skim Penempatan RASCOM pada tahun 1970-an.

Mereka yang mengikuti ekspedisi khususnya generasi muda telah melihat sendiri peninggalan asal nenek moyang mereka seperti bekas tapak asal rumah panjang (Tembawai), bekas kebun dan sebagainya yang masih lagi dalam keadaan elok.

Dalam ekspedisi tersebut, ahli PPUN turut berjaya mengesan salah satu daripada sempadan asal yang telah dilekatkan oleh pihak British di sebatang pokok yang dipanggil ‘Nyekak’ sekitar tahun 1940-an yang kini masih lagi teguh dan dalam keadaan baik, terletak di antara Sungai Sepedalai dan Sungai Ngemah.

Sempadan tersebut menandakan dengan jelas di antara tanah asal penduduk setempat dengan pihak British pada ketika itu.

Puas dengan cabaran yang telah diharungi selama lima malam enam hari menghayati sejarah serta sentimen asal, golongan muda seharusnya sedar betapa tinggi nilai sesebuah sejarah pendudukan awal yang tidak akan hilang.

Seharusnya, ekspedisi seperti ini diadakan oleh pelbagai pihak bagi menceritakan gambaran sebenar sesebuah kumpulan penduduk asal di negeri ini di samping untuk memberi peluang kepada generasi muda memahami asal-usul kedatangan nenek moyang mereka, seterusnya, menanam rasa cinta dan patriotik pada tanah air sendiri.

Advertisement