Anda di sini

Nahas bas berhampiran Perth Hills babitkan 13 pelajar, guru rakyat M’sia

Advertisement

MELBOURNE: Tiga belas pelajar serta lapan orang dewasa dari Malaysia dan Indonesia terlibat dalam satu kemalangan bas di Perth Hills pada Rabu malam, yang menyebabkan dua guru dan seorang sukarelawan cedera.

Ketua kumpulan Malaysia Mohd Fakri Bakri memaklumkan Bernama bahawa pelajar terbabit, termasuk 10 murid sebuah sekolah di Seksyen 9 Shah Alam, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun berada dalam keadaan terkejut.

Mangsa yang cedera, kesemuanya rakyat Malaysia, mengalami patah tulang dan ditahan di hospital semalaman.

“Semua pelajar dalam keadaan baik dan kami sudah memaklumkan ibu bapa mereka,” kata Mohd Fakri.

Ketika kejadian, pelajar terbabit menaiki bas itu pada kira-kira jam 7.40 malam untuk ke tapak perkhemahan di Tasik Leschenaultia, yang terletak kira-kira 50 kilometer di timur Perth.

Kemalangan itu menyebabkan bas terbabas sebelum terbalik di sebuah longkang penyaliran iaitu kira-kira 40 kilometer di timur bandaraya Perth.

Mohd Fakri berkata terdapat kabus tebal di lokasi kejadian yang mengurangkan darjah penglihatan dan mungkin menyumbang kepada nahas itu.

Kesemua penumbang dibawa ke hospital sekitar Perth untuk pemerhatian dan tiga mangsa yang cedera masih menerima rawatan.

Mohd Fakri juga berkata anggota kumpulannya, yang tiba di Perth pada Selasa, akan pulang ke Kuala Lumpur pada Sabtu dan kini mereka ditempatkan di Malaysia Hall di Perth.

Millennium Kids, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan dan hos kepada pelajar dari Malaysia dan Indonesia terbabit, berkata mereka berada di Australia bagi menghadiri satu forum anjuran Swan River Trust.

Pengerusinya, Rachael Cochrain berkata kebanyakan pelajar yang menaiki bas itu adalah dari kumpulan E-ijau yang berpangkalan di Kuala Lumpur manakala tiga lagi dari Tunas Indonesia, sebuah organisasi alam sekitar belia yang berpangkalan di Surabaya.

Cochrain berkata kumpulan itu kini bekerjasama rapat dengan Konsulat Indonesia dan Malaysia bagi membantu pelajar berkenaan menghubungi keluarga mereka. — Bernama

Advertisement