Anda di sini

Kerajaan Terengganu lancar Pusat Transformasi Pendidikan 1 Jun ini

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menubuhkan Pusat Transformasi Pendidikan Terengganu yang akan dilancar 1 Jun ini bagi memastikan agenda pembangunan pendidikan negeri tercapai.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pusat itu merupakan satu unit baharu di bawah Pejabat Menteri Besar Terengganu dan dianggotai ahli akademik serta diteraju oleh seorang profesor yang sudah dikenal pasti.

“Pusat ini ditubuhkan untuk kita mengenal pasti program yang telah, sedang dan akan diadakan supaya pelaksanaan program terbabit memberi impak dan kesan kepada pembangunan pendidikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat Terengganu di sini semalam.

Katanya penubuhan pusat itu diharap mempertingkat sektor pendidikan Terengganu dengan memastikan pelajar mendapat manfaat daripada setiap program yang dilaksana oleh Jabatan Pendidikan negeri.

Mengulas perkara berkaitan, Ahmad Razif berkara kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM1 juta kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di 494 sekolah di Terengganu sebagai ganjaran kejayaan pelajar meningkatkan nama Terengganu dalam pelbagai sektor.

“Setiap PIBG akan menerima RM2,000,” katanya.

Selain itu Ahmad Razif berkata buat pertama kali kerajaan negeri akan menghantar 50 warga pendidik cemerlang mengerjakan ibadah umrah (bagi yang beragama Islam) dan melancong ke destinasi yang dipilih (bukan Islam) menerusi anugerah ‘Jasamu Dikenang’.

“Pengarah Jabatan Pendidikan negeri akan mengenal pasti mereka, sama ada mereka yang masih bertugas atau yang sudah pencen. Kita beri kebebasan kepada pengarah untuk memilih mereka.

“Insentif ini juga wajar diberikan kepada guru dan bekas guru kerana banyak pencapaian dan kejayaan yang kita telah capai dalam 13 tahun ini adalah kerana jasa mereka,” katanya.

Menurut Ahmad Razif semua mereka akan menerima insentif itu Jun ini.

Pada majlis hari ini (semalam) bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Ariffin Embong dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Terengganu 2014 atas jasa beliau dalam bidang pendidikan dan pembabitan pelajar dalam bidang sukan terutamanya dalam temasya Sukan Malaysia. — Bernama

Advertisement