Anda di sini

Dua wartawan sanggup botak sokong ‘Go Bald’

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

 

BOTAK: Kong dan penderma lain mencukur rambut sehingga botak demi kempen ‘Go Bald’.

TERUJA: Kong teruja sebelum rambutnya dicukur botak.

DUA wartawan See Hua Daily News dari Kumpulan See Hua antara yang sanggup mengorbankan rambut mereka untuk dicukur botak dalam usaha menyokong kempen `Go Bald’ anjuran Pertubuhan Kanser Kanak-kanak Negeri Sarawak (SCCS) di Bintulu, baru-baru ini.

Kong Ping Guan, 24, berkata, tindakannya menyertai kempen ‘Go Bald’ itu adalah satu amal untuk membantu kanak-kanak menghidap kanser.

“Saya berasa bangga dan gembira kerana dapat terlibat membantu dalam kempen ini di samping menderma,” katanya yang menyumbang sejumlah RM50 untuk pendaftaran bagi membotakkan kepala dalam kempen itu.

Katanya, teman wanita turut memberi sokongan penuh atas kesungguhannya terlibat dalam kempen membotakkan kepala sekurang-kurangnya dapat menambah dana kewangan SCCS membantu kanak-kanak penghidap kanser.

Sementara itu, seorang lagi wartawan akhbar yang sama, Tay Leng Kim, 28, berkata, tidak mudah untuknya mengorbankan rambut demi kempen itu lebih-lebih lagi rambut merupakan mahkota penting bagi seorang wanita.

“Ini pertama kali saya menyertai kempen ini, dahulu di Kuching saya tidak begitu berani tetapi kali ini saya ingin mencuba,” katanya.

Tay berkata, tujuannya terlibat dalam kempen itu adalah untuk membantu kanak-kanak penghidap kanser.

Kempen bertemakan `Membantu Kanak-kanak Melawan Kanser’ turut menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif ParkCity Mall, Keith W. Pointer dicukur botak kepalanya.

Pendaftaran kempen itu bermula jam 10 pagi dan acara mencukur rambut sehingga botak sambil menderma SCCS itu diadakan jam 12 tengah hari serta mendapat sambutan menggalakkan daripada orang awam yang mengunjungi pusat beli-belah tersebut.

Program yang diadakan sejak enam tahun lalu itu merupakan kempen kesedaran membantu penghidap kanser kanak-kanak di Malaysia, terutamanya bagi mengumpul dana tahunan untuk  perbelanjaan pertubuhan membantu penghidap kanser dan keluarga pesakit itu di negeri ini.

Advertisement