Anda di sini

300 atlet sertai Pertandingan Pesta Miri Remaja Tang Soo Do

Advertisement

MIRI: Sekitar 300 atlet dari Persatuan Wushu Bahagian Miri dan Persatuan Tang Soo Do Bahagian Miri akan mengambil bahagian dalam Pertandingan Pesta Miri Remaja Tang Soo Do Antara Sekolah-Sekolah Bahagian Miri 2014 pada Sabtu (24 Mei) dan Ahad (25 Mei) ini.

Pertandingan tersebut akan berlangsung di Permaisuri Imperial City Mall.

Pengerusi penganjur Master Tiong Ching Chiong berkata, pertandingan tersebut merupakan antara acara yang diselitkan dalam kalendar Miri sempena sambutan Miri May Fest tahun ini.

“Pihak kami ingin melahirkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) di atas sokongan penuh serta tajaan bagi menjayakan pertandingan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendapatkan tandatangan daripada Datuk Bandar MBM Lawrence Lai bagi mengesahkan sijil untuk atlet terbaik bagi kedua-dua persatuan dalam pertandingan berkenaan.

Tiong yang juga jurulatih bagi kedua-dua persatuan tersebut turut memberitahu, objektif utama penganjuran adalah meningkatkan kemahiran seni mempertahankan diri di kalangan atlet khususnya bagi mereka yang masih baharu dalam bidang terbabit.

“Para atlet bagi kedua-dua persatuan telah diberi latihan bagi memantapkan kemahiran masing-masing selama sebulan.

“Bahkan, pertandingan ini sangat penting untuk menguji sejauh mana pembelajaran mereka dalam seni mempertahankan diri,” ujarnya.

Jelas beliau, melalui pertandingan berkenaan, atlet wushu yang menunjukkan prestasi terbaik akan dipilih bagi mewakili persatuan ke Kejohanan Wushu Antarabangsa Borneo kali keenam di Sibu pada Jun depan.

Dalam pada itu, pertandingan tersebut juga merupakan landasan bagi atlet Tang Soo Do dalam persediaan bagi cabaran Kejohanan Peringkat Kebangsaan Tang Soo Do kali ke-23 yang bakal menjelang.

Tambah Tiong, Datuk Bandar MBM Lawrence Lai akan dijemput sebagai tetamu kehormat bagi merasmikan pertandingan berkenaan, manakala Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin dijangka akan merasmikan majlis penutupan sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

 

Advertisement