Anda di sini

Promosi Kraf Malaysia tarik kunjungan dari dalam dan luar negara

Advertisement

Oleh Clare Cinderella //

 

CANTIK: Antara kain-kain batik sutera, buatan halus yang didatangkan khas dari Kota Bahru, Kelantan oleh pengusaha Nies Batik.

PROMOSI Kraf Malaysia 2014 yang sedang berlangsung ketika ini di Pusat Kraftangan Miri, menjadi tumpuan pelawat bukan sahaja dari dalam malah dari luar bandar raya Miri.

Ratusan pengunjung membanjiri Pusat Kraftangan Miri bukan sahaja dari sekitar bandar raya tersebut malah dari Bekenu, Batu Niah, Marudi, Bintulu serta negara jiran, Brunei Darussalam, khususnya.

Promosi Kraf Malaysia 2014, yang bermula dari 16 hingga 25 Mei ini, dianjurkan bersama oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Unit Pembangunan Keusahawanan Bumiputera dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) bersempena dengan sambutan ulang tahun Hari Bandaraya Miri kesembilan tahun ini.

Acara yang dibuka kepada orang ramai bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu, menyaksikan seramai 70 peserta terdiri daripada para pengusaha kraf tangan dan bukan kraf tangan, telah mengambil bahagian dalam promosi berkenaan dengan mempamerkan produk-produk mereka.

MENARIK: Naroden, Lawrence (dua kiri) dan Azran (empat kiri) tertarik dengan rekaan kerongsang yang dipamerkan di salah sebuah gerai.

Datuk Bandar Miri Lawrence Lai memberitahu, Promosi Kraf Malaysia 2014 itu yang merupakan ketujuh kali pernah diadakan di Miri, juga menjadi platform bagi mengiktiraf penggiat industri kraf tempatan dan usahawan kraf di seluruh negeri dan negara.

Ini kerana bukan hanya pengusaha kraf dari bahagian Miri sahaja yang turut serta tetapi dari seluruh negeri seperti Bintulu, Sibu, Kuching, Kapit, malah dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Terengganu, Selangor serta Kuala Lumpur.

“Promosi Kraf Malaysia 2014 ini juga bertepatan dengan tema sambutan Miri May Fest 2014 yang bertemakan ‘1Miri 1Komuniti’, di mana kita telah menghimpunkan pelbagai usahawan kraf Malaysia di Pusat Kraftangan Miri ini, bagi membolehkan mereka mempamer dan mengetengahkan keunikan dan kekayaan hasil seni kraf negara,” jelas Lawrence sempena perasmian promosi itu pada Isnin lalu.

RASMI SUDAH: Noroden bersama tetamu kehormat lain dan ahli-ahli jawatankuasa penganjur berada di atas pentas semasa perasmian Promosi Kraf Malaysia 2014.

Perasmian Promosi Kraf Malaysia 2014 berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera), Datuk Naroden Majais. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Azran Arip.

“Kepada warga Miri dan orang ramai yang berkunjung ke bandar raya ini, gunakanlah kesempatan ini untuk melihat dan dan membeli pelbagai jenis kraf tangan yang dipamer dan dijual di sini, sehingga Ahad ini.

“Selain pameran dan jualan, pihak kami juga turut mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang pameran ini seperti promosi kraf, pendidikan kraf, demonstrasi membuat kraf, persembahan kebudayaan dan sebagainya,” ujar beliau lagi.

KESUKAAN RAMAI: Barangan diperbuat daripada rotan, tetap menjadi pilihan pengunjung kerana kualiti dan ketahanannya.

Advertisement