Anda di sini

Platform ke pentas antarabangsa

Advertisement

Oleh Patricia Gari//

Atlet Sarawak beraksi di SUKMA Perlis perlu berusaha untuk melayakkan diri ke temasya lebih besar

SIMBOLIK: Mawan (tiga kiri) mewakili Ketua Menteri menyempurnakan simbolik Majlis Perasmian dan Penyerahan Bendera Negeri kepada Ketua Kontinjen Sarawak ke SUKMA XVII Perlis, semalam. — Gambar Chimon Upon

KOTA SAMARAHAN: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mahu atlet Sarawak yang akan beraksi dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XVII menganggap temasya sukan itu sebagai platform bagi mengukir nama di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, atlet negeri bukan sekadar bertanding untuk mempertingkatkan prestasi selaku wakil negeri semata-mata, tetapi bersaing bagi melayakkan diri ke kejohanan lebih besar seperti Sukan SEA, Asia, Komanwel dan Olimpik.

Katanya, SUKMA tidak lagi temasya kelas kedua negara kerana ia telah berjaya melahirkan nama-nama besar dalam sukan antarabangsa antaranya Mohamad Azlan Iskandar (skuasy), Pandelela Rinong (terjun) dan Diana Bong Siong Lin (boling).

“Mungkin sebelum ini ramai menganggap SUKMA (kejohanan) sukan kelas kedua di negara ini, namun ia telah melahirkan ramai atlet yang berjaya di peringkat antarabangsa. Ini ternyata SUKMA sukan yang berprestij,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Bendera Negeri kepada Ketua Kontinjen Sarawak ke SUKMA XVII Perlis di DeTAR UNIMAS di sini, semalam.

Adenan berkata, pada masa sama atlet Sarawak harus sentiasa meneruskan usaha mencapai kejayaan cemerlang dan memperbaiki kedudukan seiring dengan sasaran optimis memperolehi minimum 55 pingat emas dalam temasya kali ini.

Katanya, setiap atlet harus sentiasa fokus kepada kejayaan, berfikiran positif, mempunyai keyakinan tinggi dan tidak mengambil sikap sambil lewa jika mahu kejayaan cemerlang menjadi milik Sarawak.

Beliau turut berharap atlet SUKMA XVII tidak mempersia- siakan pengiktirafan diberikan kerana seluruh rakyat Sarawak meletakkan harapan tinggi melihat mereka melakar kejayaan cemerlang.

“Justeru pada temasya sukan ini, kita berharap kontinjen negeri Sarawak yang seramai 520 terdiri daripada pegawai dan atlet akan mencapai kejayaan cemerlang seperti sasaran ditetapkan.

“Saya juga percaya sukan seperti renang, olahraga, angkat berat, wushu, pencak silat dan sukan-sukan lain dapat mengulangi kejayaan dan mempertingkatkan pencapaian mereka,” ujarnya.

Menyentuh mengenai persiapan Sarawak sebagai tuan rumah SUKMA 2016, Adenan berkata kerajaan negeri amat komited menganjurkan temasya sukan itu buat julung kalinya selepas kejayaan kali terakhir pada 1990.

Menurutnya, pembinaan kemudahan sukan baharu di samping membaik pulih kemudahan sukan sedia ada akan dimulakan awal tahun hadapan.

Selain itu, katanya, Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) telah menubuhkan Jawatankuasa Kerja bagi menyelaras pelbagai persediaan dan keperluan termasuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal dan Pengurusan.

Kerajaan menerusi KPS, katanya, mengalu-alukan kerjasama dan sokongan daripada pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan serta persatuan sukan dan masyarakat untuk bagi memastikan kejayaan Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA 2016.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Sarawak merangkap Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin dalam ucapan alu-aluannya berkata kontinjen Sarawak antara kontinjen terbesar menghantar pegawai dan peserta di SUKMA XVII.

“SUKMA XVII merupakan medan terbaik menguji persembahan atlet-atlet terpilih ke SUKMA Ke-18 di Kuala Lumpur pada 2015. Ia juga kayu pengukur dan petunjuk kepada kekuatan kita dalam mempersiapkan kontinjen kita sebagai tuan rumah SUKMA Ke-19 pada 2016,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Ketua Kontinjen Sarawak Affandi Keli dan Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim.

Advertisement