Anda di sini

Perusahaan cendawan tiram dipergiat

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

SEGAR: Naroden memetik cendawan tiram segar sambil diperhatikan Zulkarnain (kanan).

SIAPA sangka gurauannya tiga tahun lepas yang mencabar rakan kongsinya untuk membuka sebuah kilang cendawan tiram kini menjadi kenyataan.

Air mata Zulkarnain Abdul Rahim Kassim menitis jua tatkala berdiri di hadapan kilang cendawan tiram yang berjaya dibuka bersama rakan kongsinya.

Malah kilang Green Spores Agrotech milik pengusaha cendawan tiram tempatan ini bukan sahaja terhad kepada tananam cendawan, malah turut mempelopori pengeluaran benih untuk dibekalkan kepada pengusaha lain.

“Tiga tahun lepas saya pernah mencabar rakan kongsi saya untuk membuka sebuah kilang cendawan tiram untuk kami berdua.

“Bulat matanya mendengar ungkapan saya tetapi ketika saya berdiri di hadapan kilang ini, air mata saya menitis melihat kilang yang berdiri gah di depan mata saya sendiri,” katanya pada pembukaan rasmi Ibu Pejabat dan Kilang Green Spores Agrotech di Kuching, baru-baru ini.

Dengan penubuhan kilang tersebut, Zulkarnain bersama rakan kongsinya kini menjalankan perusahaan tanaman cendawan tiram secara komersial.

Pada mulanya berbekalkan modal RM50,000 dengan tiga pekerja, Green Spores Agrotech berupaya mengeluarkan 200 hingga 300 beg media cendawan tiram sehari.

Sejak beroperasi di kilang yang terletak di Demak Laut ini, Green Spores Agrotech dengan modal tambahan RM80,000 mampu mengeluarkan 250,000 beg media sehari dengan sasaran pengeluaran dua tan cendawan tiram sehari.

“Susulan perpindahan ke lokasi baharu ini, Green Spores Agrotech tidak hanya mengusahakan tanaman cendawan tiram malah turut mempelopori pembuatan benih cendawan.

“Menerusi makmal benih cendawan yang terdapat di kilang ini, benih cendawan dapat dibekalkan untuk keperluan pengusaha lain yang turut mengusahakan tanaman cendawan tiram,” katanya.

Tambah Zulkarnain, visi syarikat bukan sekadar memaksimumkan keuntungan tetapi juga membantu memperkasa masyarakat dalam bidang perniagaan.

Sehubungan itu Zulkarnain menaruh harapan tinggi kepada Unit Pembangunan Usahawan di bawah Jabatan Ketua Men-teri bekerjasama dengan Green Spores Agrotech dalam membangunkan industri cendawan di Sarawak.

PASARAN TINGGI

Menerusi pendekatan ini katanya, peserta dapat digabungkan untuk pemasaran secara terancang dan tidak mustahil mampu menjadikan Sarawak sebagai pengeluar cendawan terbesar di Malaysia.

Dalam pada itu, pembukaan Ibu Pejabat dan Kilang Green Spores Agrotech itu telah dirasmikan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Mohd Naroden Majais merangkap Menteri Muda Perancangan Sumber.

Naroden yang menyambut baik pembukaan kilang tersebut yakin syarikat ini boleh dijadikan sebagai contoh kepada usahawan lain.

Bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, Naroden turut menyarankan syarikat memperkenal konsep penanaman kontrak kepada masyarakat contohnya ibu tunggal.

Dengan menyediakan teknologi bagi mereka yang berminat, pengeluaran cendawan katanya kemungkinan mampu dipertingkat kepada empat hingga lima tan sehari berbanding sasaran dua tan sehari.

Dalam pada itu, tanaman cendawan tiram semakin popular di Malaysia atas faktor keuntungan yang tinggi dalam jangka masa pendek, selain kos pengeluaran rendah serta potensi pemasaran dan kandungan nutrient pemakanan yang tinggi.

Malah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sarawak menyediakan kemahiran teknikal pengeluaran benih cendawan agar pengusaha tidak lagi perlu mendapatkan atau membeli benih daripada sektor swasta.

Cendawan tiram atau nama saintifiknya Pleurotus ostreatus merupakan salah satu kulat yang boleh dimakan dan kebanyakannya ditanam di Asia sebelum dikomersialkan di seluruh dunia sebagai makanan.

Cendawan tiram sering digunakan dalam masakan China dan Jepun sebagai juadah istimewa dan sedap dimakan bersama kicap.

Industri cendawan kini bukan sahaja diceburi golongan petani semata-mata tetapi turut melibatkan pelbagai golongan profesional.

Ini menunjukkan industri cendawan semakin mendapat tempat dalam masyarakat kerana konsep penanaman ringkas dan kemas serta memberikan pulangan lumayan.

Purata pendapatan pengusaha cendawan kini mencecah RM3,000 sebulan jika memulakan penanaman cendawan sebanyak 12,000 beg media.

Ini menunjukkan pendapatan yang diperoleh pengusaha setanding dengan perusahaan dan industri lain jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Advertisement