Anda di sini

Penyelewengan diesel serius: SPRM

Advertisement

Operasi sindiket berjalan terancang dan bukan dilakukan oleh individu

KANGAR: Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi melibatkan sindiket di negara ini dengan negara jiran kini berada di tahap serius.

Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Datuk Azam Baki yang tidak menyebut negara jiran itu berkata operasi sindiket terbabit berjalan dengan terancang dan bukan dilakukan oleh individu.

“Penyelewengan ini sampai tahap serius kerana unsur-unsur rasuah membabitkan penjawat awam dari pelbagai agensi sangat jelas manakala syarikat pembekal tidak terbabit,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyaksi majlis serah-terima tugas jawatan Pengarah SPRM Perlis oleh Alias Darus kepada Yaakop Angah di sini, semalam.

Alias ditukarkan ke Kedah sebagai timbalan pengarah mulai 15 Februari lepas manakala Yaakop sebelum ini merupakan ketua cawangan SPRM Seberang Prai, Pulau Pinang.

Menurut Azam ketirisan bermula di lapangan akibat sistem dan prosedur yang longgar selain harga bahan bakar itu antara yang termurah dalam kalangan negara ASEAN menyebabkan banyak pihak ingin mencari keuntungan mudah.

Katanya, pemantauan ketat di tempat-tempat yang dikenal pasti telah dilaksanakan sejak isu terbongkar malah SPRM bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk membanteras terus penyelewengan itu.

Pengarah-pengarah SPRM negeri akan turut dilibatkan jika timbul isu berkaitan di negeri terbabit, kata Azam.

Sebelum itu, Yaakop berkata pihaknya menerima 29 maklumat dakwaan rasuah sehingga kelmarin dan telah membuka tujuh kertas siasatan membabitkan tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa dan satu kes telah pun didakwa di mahkamah.

Katanya, 37 kertas siasatan dibuka hasil 184 maklumat diterima tahun lepas kebanyakannya membabitkan masalah disiplin penjawat awam.

SPRM Perlis mengesyorkan tindakan tatatertib dan teguran dibuat terhadap mereka. — Bernama

Advertisement