Anda di sini

Pembelajaran, pengajaran di Kampus Kesihatan USM tidak terjejas

Advertisement

KOTA BAHARU: Proses pengajaran dan pembelajaran di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini, tidak terjejas meskipun kehilangan pensyarah perubatan setiap tahun.

Pengarah kampusnya, Prof Datuk Mafauzy Mohamed berkata fenomena itu merupakan perkara biasa dan ia tidak menjejaskan proses pembelajaran di kampus berkenaan.

“Dari segi pembelajaran ia tidak terjejas kerana ada pensyarah lain yang mengambil alih sementara kita dapat tenaga pengajar yang baharu.

“Pensyarah berhenti kerana pelbagai sebab bukan sahaja berhijrah ke sektor swasta tetapi ada yang berhenti sebab bersara dan banyak lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif USM 2014 di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah HUSM Datuk Dr Zaidun Kamari dan Penyelaras Kualiti USM Dr Mary Abraham.

Akhbar kelmarin melaporkan ramai pensyarah perubatan meninggalkan universiti awam selepas bertahun-tahun mengadu tentang beban kerja yang terlalu berat dan gaji yang rendah.

Mafauzy berkata sehingga kini pihaknya mempunyai 310 pensyarah dan 24 daripadanya pensyarah luar negara.

“Pada tahun 2013, sebanyak 16 pensyarah telah berhijrah dan pada tahun ini enam orang pensyarah meninggalkan kampus ini.

“Jadi jumlah 38 orang yang dilaporkan itu adalah tidak benar dan berbeza daripada jumlah yang kita dapat,” katanya. — Bernama

Advertisement