Anda di sini

Pemandu lori ditahan, 500 liter diesel bersubsidi dirampas

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu menahan seorang pemandu lori dan merampas 500 liter diesel bersubsidi.

Timbalan Pengarah PPDNKK negeri Alwi Abdul Hamid berkata pemandu lori berusia 29 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi diesel ke dalam tangki lori di sebuah stesen minyak di Kampung Wakaf Tengah di sini malam kelmarin.

“Hasil pemeriksaan lanjut kita dapati pemandu lori berasal dari Melaka itu telah selesai mengisi minyak di empat buah stesen minyak sebelum ditahan di stesen kelima dan kita dapati sebanyak 500 liter minyak bernilai RM1,000 dalam tangki tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata tangki yang diubah suai itu mampu memuatkan kira-kira 5000 liter minyak dan pihaknya mempercayai suspek bergiat aktif sejak dua bulan lepas.

Katanya, penahanan pemandu lori itu adalah hasil intipan sejak tiga hari lalu dan dipercayai diesel itu untuk dijual dan diedarkan di Pulau Pinang.

“Nilai rampasan (diesel) termasuk lori yang disita dianggarkan bernilai RM19,000 dan kita akan meningkatkan operasi tidak kira siang atau malam bagi membanteras kegiatan ini,” kata Alwi.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah mengisi diesel di beberapa stesen minyak di sekitar Kuala Terengganu dalam kuantiti tertentu bagi mengaburi mata orang ramai sebelum dijual kepada pihak industri.

Beliau berkata pihaknya menjalankan ‘Ops Titik’ bagi mengesan dan membanteras kegiatan menyeleweng diesel bersubsidi untuk mengaut keuntungan mudah. — Bernama

Advertisement