Anda di sini

Kurang sokongan punca utama pembangunan snuker terbatas

Advertisement

SIBU: Kurangnya penglibatan pihak tertentu menggalakkan snuker dan biliard di kalangan generasi muda sedikit sebanyak menyebabkan pembangunan sukan tersebut terbatas dan kurang popular.

Bekas presiden Persatuan Snuker dan Biliard Bahagian Sibu (SDBSA) Danny Wong berpendapat walaupun sudah bertahun-tahun menunggu, namun respons daripada pihak berkenaan tetap kurang.

“Ini sesuatu yang menyedihkan dan saya berani mengatakan semua usaha mempromosi yang dilaksanakan badan-badan snuker hanyalah sia-sia sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada pihak sepatutnya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menurut Wong, hasrat Pengerusi Persekutuan Sukan Snuker dan Biliard Sarawak (SSSF) Datuk John Sikie Tayai menulis surat kepada Kementerian Pembangunan Sosial supaya menyediakan sembilan buah meja snuker dan ditempatkan di lokasi strategik di Kuching, Sibu dan Miri untuk berlatih, perlu diteruskan.

Sikie, katanya, turut menyatakan meja snuker itu boleh digunakan oleh mereka yang berusia di bawah 20 tahun untuk menjalani latihan memandangkan mereka tidak dibenarkan mengunjungi pusat-pusat snuker.

Selain itu, Sikie mengakui bahawa taraf snuker di negeri ini jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dan usaha memartabatkan semula sukan perlu dipergiatkan sebelum sukan snuker diperkenalkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

“Cadangan ini kedengaran cukup memikat malah satu perkembangan baik khususnya di kalangan pengemar sukan ini, kerana tiba-tiba sukan ini diangkat ke satu tahap yang lebih besar.

“Malangnya, selepas hampir setahun, hasrat untuk meletakkan meja snuker dan biliard di Dewan Suarah seolah-olah tidak akan terlaksana,” jelas beliau.

Menurut Wong, beliau tidak faham mengapa masa yang lama diambil dan begitu sukar bagi pihak berkenaan merealisasikan cadangan itu.

“Memandangkan SBSSF telah mempunyai cadangan, kini terpulang kepada mereka untuk menulis surat kepada Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan kebenaran menempatkan meja snuker di Dewan Suarah dan seandainya mereka mengamalkan sikap tunggu dan lihat, maka tiada apa yang akan menjadi kenyataan,” katanya lagi.

Namun, ujar beliau, sebaik sahaja permohonan untuk menempatkan meja snuker di lokasi yang telah ditetapkan diluluskan, bahagian seterusnya akan menjadi lebih mudah.

Beliau juga yakin, ia akan menarik ramai pelajar untuk melibatkan diri dalam sukan tersebut.

“Saya percaya, ramai pelajar yang tidak berkesempatan terlibat dengan sukan luaran akan menjadi snuker sebagai sukan kegemaran mereka dan tambahan pula snuker merupakan salah satu sukan luaran yang baik untuk para pelajar,” jelasnya.

Wong juga yakin dalam masa dua tahun, SBSSF boleh menganjurkan kejohanan snuker antara sekolah-sekolah.

Tambah beliau, penganjuran sukan snuker antara sekolah-sekolah merupakan langkah pertama yang penting untuk menggalakkan snuker selain turut meningkatkan mutu sukan terbabit.

“Dari situ, pemain cemerlang akan dipilih untuk mewakili negeri ini dalam kejohanan kebangsaan.

“Ini adalah prinsip-prinsip asas sukan. Pemain perlu bermula dari muda sebelum bakat mereka boleh dipupuk sehingga menjadi seorang bintangantarabangsa. Tidak ada kejayaan yang boleh dikecapi dalam sekelip mata,” ujar Wong.

Mengambil contoh China, Wong berkata, mereka mempunyai begitu ramai pemain snuker prfesional yang bertanding dalam kejohanan antarabangsa.

Justeru, beliau menggesa Kementerian Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Kementerian Pendidikan agarbekerja secara kolektif untuk mempromosikan sukan itu.

Advertisement