Anda di sini

Jenazah adinda Yang di-Pertuan Agong selamat dimakamkan

Advertisement

ALOR SETAR: Jenazah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah, 75, yang mangkat tengah malam kelmarin selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar dekat sini petang semalam.

Turut berada di Makam Diraja itu ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang merupakan kekanda Tunku Annuar, Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah, isteri Tunku Annuar Toh Puan Bendahara Kedah Puan Sri Nor Suzana Abdullah, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jenazah Almarhum Tunku Bendahara Kedah itu dibawa menaiki pedati sejauh kira-kira 20km dari Istana Anak Bukit di sini pada jam 3.40 petang dan tiba di Makam Diraja itu pada jam 5.15 petang.

Jenazah Almarhum dimasukkan ke dalam liang lahad pada jam 5.30 petang dan majlis pemakaman selesai kira-kira jam 6.30 petang.

Tunku Annuar mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak jam 12.20 tengah malam kelmarin.

Berikutan kemangkatan Tunku Annuar, Mukhriz mengumumkan bendera negeri, Persekutuan dan lain-lain dikibarkan separuh tiang selama tiga hari mulai semalam.

Beliau berkata tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari mulai semalam sehingga 27 Mei dan sepanjang tempoh berkenaan semua bentuk hiburan, keramaian serta perayaan adalah dibatalkan.

Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah itu, semalam diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri Kedah. — Bernama

Advertisement