Anda di sini

Alberts: Sarawak sedia hadapi sambutan negatif di Perak

Advertisement

KUCHING: Skuad Sarawak dijangka berdepan saingan sengit daripada Perak dalam pertemuan Liga Super malam esok di tempat lawan.

Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts berkata, skuadnya sedar mungkin berdepan semula penerimaan negatif daripada penyokong lawan seperti semasa pertemuan mereka dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Malaysia, Ogos tahun lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu mereka dilontar dengan mercun dan salah seorang daripada pegawai pasukan Perak menunjukkan isyarat jari tidak senonoh sambil melemparkan katakata kesat.

Justeru, beliau berharap para pemainnya akan lebih bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan ekoran berlakunya insiden kekecohan penyokong Skuad Seladang dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia pada Ogos tahun lepas.

“Kami menjangkakan perkara sama dalam pertemuan malam Jumaat ini berdasarkan pengalaman bermain di sana pada Ogos tahun lepas.

“Penyokong Perak melontar mercun ke arah pemain kita dan salah seorang pegawai pasukan tuan rumah menunjukkan isyarat jari tidak senonoh sambil melemparkan kata-kata kesat,” ujarnya.

Albert juga memberitahu disebabkan sikap pasukan tuan rumah ketika itu Sarawak hilang tumpuan dan kalah 1-2 kepada Perak, tetapi Skuad Bujang Senang berjaya membalas dendam sebulan kemudian dengan membelasah perak 6-1 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Negeri.

Alberts juga mahu pasukannya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana menurutnya Perak tidak dikenakan hukuman selepas insiden itu.

“Saya tidak mendengar sebarang tindakan diambil terhadap Perak berhubung insiden itu tahun lepas. Kami dilayan amat buruk semasa kunjungan terakhir kami ke sama dan kami berharap perkara sama tidak akan berulang Jumaat ini (esok),” ujarnya.

Kali terakhir Perak menentang Sarawak di Stadium Negeri Februari tahun 2014 dalam perlawanan Liga Super dan Seladang tewas 1-0 hasil gol tunggal bekas pemain Sarawak Milorad Janjus.

Kedua-dua pasukan ini akan bertemu lagi malam esok pada perlawanan Liga Super dan ingin menewaskan Perak buat kali kedua dalam Liga Super di Stadium Perak.

Advertisement