Anda di sini

Misi buru tiga terbaik

Oleh Harry Ilias

BERSEMANGAT: Affandi, Dr Ong (tengah) dan Lucas (kiri) bersama atlet-atlet
pada perasmian perkampungan kem kontinjen SUKMA Sarawak di UNIMAS, Kota Samarahan semalam.

Sarawak laung keyakinan capai sasaran 55 pingat emas pada SUKMA XVII di Perlis

 

KOTA SAMARAHAN: Kontinjen Sarawak melaungkan keyakinan menghadapi cabaran untuk merebut tiga tempat terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVII) yang bakal berlangsung di Perlis bermula pada 24 Mei hingga 4 Jun ini.

Timbalan Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak, Affandi Keli berkata atlet-atlet negeri diyakini mampu mencapai sasaran 55 pingat emas yang ditetapkan pada temasya berprestij kali ini.

“Persediaan kita telah lengkap dan saya yakin kita mencapai sasaran tiga tempat teratas pada temasya SUKMA kali ini.

“Saya cukup teruja melihat semangat ditunjukkan oleh semua atlet dan kita berharap mereka akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam usaha mencapai misi memburu kejayaan pada SUKMA XVII di Perlis nanti,” katanya ketika merasmikan perkampungan Kem Kontinjen SUKMA Sarawak di Kediaman Rafflesia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

Hadir sama Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Lucas Kalang Laeng dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (PSNS), Dr Ong Kong Swee.

Affandi juga berharap slogan ‘Agi Adup Agi Ngelaban’ akan menjadi perangsang kepada atlet-atlet untuk memberikan yang terbaik dan mencapai kejayaan gemilang untuk Kontinjen SUKMA Sarawak.

Sarawak menghantar pasukan terkuat dengan seramai 362 atlet serta 84 pegawai dan jurulatih yang akan bersaing dalam 22 daripada 24 acara.

Ini bermakna Kontinjen Sarawak hanya berpeluang bersaing bagi merebut 310 dari 396 pingat emas yang dipertandingkan.

Acara yang akan disertai Sarawak ialah akuatik (terjun dan renang), angkat berat, berbasikal, boling padang, memanah, olahraga, silat, petanque, taekwondo, tenpin boling, tenis, wushu, hoki, badminton, bola sepak, golf, karate, menembak, sepak takraw, squasy, kanu dan tinju.

Manakala dua acara yang tidak disertai adalah gimrama dan perahu layar.

Semua kontinjen tidak termasuk skuad taekwondo dan berbasikal berangkat ke Perlis secara berperingkatperingkat bermula hari ini dengan skuad bola sepak dan silat berlepas awal kerana kedua-dua acara akan bermula pada 23 Mei ini (Jumaat).

Majlis perasmian kem kontinjen atlet SUKMA Sarawak dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem hari ini.