Anda di sini

Kekal bersatu, kerjasama erat demi kemajuan SIDS

Advertisement

Oleh W. Bolly Ongie

 

UNTUKMU: Dennis (tengah) menyampaikan komputer riba 1Malaysia kepada Julita Ala Laja (kiri) sambil disaksikan oleh Tuai Rumah (TR) Randi Bundan.

AHLI-ahli Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) diingatkan supaya sentiasa bersatu dan mengekalkan kerjasama erat untuk memajukan persatuan serta menganjurkan pelbagai aktiviti ke arah menggerakkan persatuan mereka menjadi sebuah organisasi yang aktif.

Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau menasihatkan persatuan supaya tidak menganjurkan aktiviti yang bercanggah dengan perlembangaan persatuan dan setiap unit perlu membuat perancangan dalam setahun mahupun bulanan.

Dennis memberitahu demikian semasa berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan SIDS Bahagian Marudi yang diadakan di Dewan Suarah Baram baru-baru ini.

DENGAR AMANAT: Sebahagian ahli SIDS yang menyertai Mesyuarat Agung Tahunan SIDS Bahagian Marudi baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dennis menyeru persatuan wanita Dayak itu, dari setiap unit iaitu sebanyak 36 buah unit di kawasan Poyut/Lubok Nibong termasuk tiga unit di kawasan Marudi, supaya mengekalkan semangat perpaduan di kalangan mereka.

Ahli-ahli SIDS juga diseru supaya memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan jangan mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang kerap mengapi-apikan penduduk di luar bandar.

“Saya juga pernah berkata bahawa wanita SIDS harus menjadi contoh kepada masyarakat lain dan SIDS sendiri perlu menjadi satu platform untuk memperjuangkan kemajuan di kampung mahupun di rumah panjang masing-masing,” ujarnya.

Beliau mencadangkan agar SIDS bergerak dengan hala tuju yang sama serta sehaluan dengan JKKK dan bekerjasama erat dengan jawatankuasa lain di kampung serta rumah panjang mereka.

GUNA DENGAN BAIK: Wakil setiap unit SIDS bergambar bersama Dennis (tengah) selepas menerima komputer riba 1Malaysia pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan SIDS Bahagian Marudi baru-baru ini.

Pada majlis yang sama Dennis turut menyampaikan komputer riba 1Malaysia kepada 32 unit SIDS dan peruntukan RM3,000 bagi setiap unit SIDS terbabit yang akan dimasukkan ke dalam akaun SIDS Unit Marudi tidak lama lagi, untuk diagihkan kepada unit-unit lain yang lebih kecil.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ahli-ahli SIDS supaya menggunakan komputer riba dengan baik dan tidak melayari laman-laman sosial yang memudahkan mereka ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab khususnya lelaki yang tidak pernah dikenali.

Seramai 205 orang ahli SIDS dari 36 unit menyertai Mesyuarat Agung Tahunan itu dan seterusnya memilih ahli jawatankuasa baharu bagi penggal 2014 hingga 2015.

Advertisement