Anda di sini

Usaha murni CLAPAM bantu kanak-kanak amat dihargai

Advertisement

MIRI: Kerajaan amat menghargai usaha murni Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) dalam membantu kanak-kanak dan mereka mengalami masalah itu di negeri ini menjalani pembedahan dan rawatan secara percuma.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata komitmen CLAPAM bukan hanya membantu kanak-kanak dan mereka  yang mengalami masalah klef dan lelangit merekah malah meringankan beban ahli keluarga mereka yang terbabit.

“Kerajaan begitu menghargai usaha dilakukan CLAPAM kerana mereka bukan hanya mengembalikan keyakinan kanak-kanak dan orang dewasa, tetapi sebenarnya mereka membantu keluarga,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Projek Kebajikan Klef Bibir Ke-10 di sini malam kelmarin.

Kempen Amal CLAPAM di Sarawak dilancarkan 10 tahun lalu mendapat kerjasama Columbia Asia Hospital Miri bertujuan membantu kanak-kanak dan orang dewasa  golongan kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar mendapatkan pembedahan pembetulan klef dan rawatan susulan secara percuma.

Sejak program amal itu dilaksanakan pada 2004,  kira-kira 300 pembedahan pembetulan klef bibir dan lelangit dilakukan, majoriti melibatkan golongan berpendapatan rendah dari kawasan pedalaman Sarawak.

“Sebelum ini, ramai kanak-kanak mengalami masalah bibir klef dan lelangit membesar tanpa berpeluang mendapatkan pembedahan pembetulan dan rawatan. Keadaan ini menyebabkan mereka membesar dalam suasana dan stigma yang negatif.

“Justeru, usaha CLAPAM memberi makna amat besar kepada ahli-ahli keluarga yang menerima bantuan. Saya berharap usaha murni itu akan terus dilaksanakan dan kerajaan sentiasa memberi sokongan,” ujar Fatimah.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada CLAPAM Cawangan Sarawak di bawah Jawatankuasa PROTEM Dr Philip Raja sebagai pengerusi dan Columbia Asia Hospital Miri selaku sekretariat, pasukan doktor dan jururawat diketuai oleh doktor bedah terkemuka dari Pantai Medical Centre selaku penasihat CLAPAM Dr Kim Tan.

Terdahulu, Dr Kim berharap projek amal CLAPAM itu terus mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak bagi memastikan kesinambungannya pada masa depan.

“Projek ini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dana orang awam dan badan korporat.

“Saya mewakili jawatankuasa berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi sokongan memastikan projek itu berjalan lancar dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Setiap pembedahan pembetulan bibir klef dan lelangit menelan kos kira-kira RM4,500 dan projek itu kini dibiayai melalui derma pelbagai sektor korporat dan individu.

Majlis pada malam itu dimeriahkan dengan persembahan nyanyian tiga kanak-kanak iaitu Siti Nurlin Jumat, Muhd Zulfadlie Muhd Taufik, Shafiqah Yusry, Nur Izzati Abdullah dan Nur Izzatul Abdullah dan Senah Gowang yang berkongsi pengalaman sebelum dan selepas pembedahan pembetulan klef bibir dan lelangit.

Hadir sama pengerusi penganjur Dr Philip Raja, Presiden CLAPAM Zainal Azhar Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Columbia Asia Kevin Tan, Perunding Pembedahan Plastik merangkap Penasihat CLAPAM Dr Kim Tan.

Advertisement