Oleh Agnes Tugong //
Mawan ulas ‘ancaman’ Masing dan Doris sebelum TERAS menuntut sebarang kepentingan di kerusi Pelagus
KUCHING: Bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom menyifatkan tuntutan Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Ketua Wanitanya Datuk Doris Sophia Brodie sebagai restricted agenda apabila mereka membuat ‘ancaman’ sebelum TERAS menuntut sebarang kepentingan di kerusi Pelagus.
Mawan yang juga ADUN Pakan dan Ahli Parlimen Saratok berkata, beliau tidak harus dipersalahkan atas kejutan ADUN Pelagus George Lagong menyertai TERAS.
Pada 15 Mei, George menyertai Mawan dan sembilan wakil rakyat lain yang memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing iaitu SPDP, SUPP dan SWP bagi menyertai TERAS.
Jelas Mawan, borang permohonan keahlian TERAS ibarat menjual kek panas.
Katanya, rakyat dapat menjiwai TERAS kerana ia adalah sebuah parti berbilang kaum.
“Ia bukan niat kami untuk mengambil Pelagus tetapi perkara ini berlaku tanpa jangkaan, apabila George memutuskan untuk menyertai TERAS,” jelas Mawan.
Tambah Mawan lagi, amat mengecewakan apabila PRS yang merupakan sebuah parti yang aman perlu menjadi sangsi dan provokatif.
“Ia bermula dengan kami (SPDP dan PRS) mahu bergabung. Saya tidak menolak idea tersebut tetapi bagaimana hendak memberi respons apabila mereka meletakkan syarat untuk penggabungan.
“PRS tahu saya menghadapi masalah dan cuba menyelesaikan masalah dalaman SPDP. Pada masa yang sama saya tidak mahu terlalu terbuka kerana idea tersebut kurang baik,” jelasnya.
Jelas Mawan lagi, TERAS tidak mempunyai niat untuk mengambil kerusi yang diperuntukkan oleh BN kepada PRS tetapi di penghujungnya ia bergantung kepada BN untuk menyemak semula peruntukan kerusi pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Saya secara peribadi merasakan rakan saya Dr James dan ahli-ahli PRS seharusnya tidak berfikiran sedemikian kerana TERAS menyokong penuh PRS di kerusi yang mereka tandingi pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” jamin Mawan.
Ditanya sebab mengambil George, Mawan berkata ia hanyalah prinsip dan polisi bahawa kami tidak boleh menolak sesiapa yang menyokong BN.
George katanya memberitahu beliau bahawa dirinya lebih selesa berkhidmat di bawah BN.
Berbalik kepada tuntutan Masing dan Doris, Mawan berharap mereka faham bahawa kemasukan George dalam TERAS adalah di luar jangkaan.