Anda di sini

SUPP Simanggang beri sokongan kepada Harden

Advertisement

SRI AMAN: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang dan Lingga bersetuju dan menyokong tindakan Pengerusi SUPP Cawangan Simanggang Datuk Francis Harden Hollis kembali menyokong pucuk pimpinan SUPP Pusat setelah ROS menerima penjelasan SUPP tentang kesahan TDC 2011.

Kenyataan media SUPP Simanggang dan Lingga menjelaskan, sebagai ahli-ahli SUPP mereka amat mengharapkan masalah parti itu dapat diselesaikan dengan keputusan ROS itu.

“Kami berharap ahli-ahli SUPP patuh kepada keputusan Menteri Dalam Negeri dan ROS dan jangan lagi mengemukakan pelbagai pandangan terhadap kesahan TDC 2011.

“Kami juga berharap agar segala masalah dalaman parti berakhir dan kita semua dapat bersatu serta berganding bahu menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang,” kata kenyataan itu semalam.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis tidak pernah ‘melompat’ parti.

Beliau seorang ahli SUPP yang setia kepada parti.

Justeru, kami berharap ahli-ahli SUPP harus mengenal pasti kebenaran dan hala tuju bersatu padu menghadapi realiti politik semasa secara waras dan taat kepada pucuk pimpinan parti.

Simanggang merupakan DUN SUPP, justeru penduduk perlu bersatu menyokong penuh Pengerusi SUPP Cawangan Simanggang Datuk Francis Harden Hollis untuk terus mewakili SUPP dan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusinya dan berkhidmat kepada rakyat serta membangunkan kawasan tersebut.

Satu perjumpaan pucuk pimpinan SUPP Simanggang bersama pengerusi SUPP Simanggang serta ahli-ahli Jawatankuasa SUPP turut dihadiri Harden, Ketua Wanita SUPP Simanggang Ling Siew Hung dan Pengerusi SUPP Lingga Kuek Aik Seng.

Advertisement