Anda di sini

Rumah pengerusi cawangan parti diceroboh pencuri

Advertisement

DIPOTONG: Keadaan besi jeriji salah satu tingkap rumah mangsa dipotong dan dibengkokkan pencuri sebagai laluan masuk ke dalam rumah.

MIRI: Seorang pengerusi cawangan sebuah parti politik kerugian ratusan ringgit setelah rumahnya di kawasan Tanjong Lobang di sini dipecah masuk pencuri.

Kejadian itu hanya disedari oleh anak sulungnya yang datang melawat rumah berkenaan sekitar jam 6 pagi semalam.

Difahamkan semasa kejadian, rumah itu ditinggalkan kosong sementara pengerusi parti berkenaan serta ahli-ahli keluarga berada di tempat lain.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat anak mangsa di Balai Polis Pusat Miri sekitar jam 8 pagi semalam.

Menurut anak mangsa, sebaik tiba di pekarangan rumah bapanya itu, dia ternampak besi jeriji salah satu tingkap di tingkat bawah dipotong dan dibengkokkan.

Dia yang mengesyaki sesuatu yang tidak kena segera masuk ke dalam rumah dan mendapati barangan di tiga bilik di tingkat atas rumah berselerak.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sejumlah wang yang diisi ke dalam paket angpau dan disimpan di salah sebuah bilik tingkat atas hilang dipercayai dilarikan pencuri terbabit.

Katanya wang angpau yang tidak diketahui jumlahnya itu merupakan baki yang diagihkan kepada tetamu semasa sambutan Tahun Baharu Cina lalu.

Berikutan itu, dia segera menghubungi ayahnya untuk memaklumkan tentang perkara tersebut.

Advertisement