Oleh Ambrose Rirang //
Taska di tempat kerja menggalakkan ibu bekerja menyusukan anak yang berada di taska berkenaan
BINTULU: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM200,000 kepada mana-mana kementerian, jabatan dan agensi di negeri ini bagi menubuhkan taska di tempat kerja masing-masing.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata dengan adanya taska di tempat kerja secara tidak langsung menggalakkan ibu-ibu bekerja menyusu terus anak-anak mereka yang berada di taska berkenaan yang sememangnya digalakkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Hingga kini, terdapat empat taska di tempat kerja yang beroperasi di negeri ini iaitu Taska Yayasanku Sayang, Taska Nur Wiswani Biro Wanita dan Taska Permata Kompleks Persekutuan semuanya di Kuching dan Taska Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Cawangan Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi lawatan kerja ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak Persatuan Kebajikan Islam Perubatan (PERKIP) Cawangan Bintulu di Hospital Bintulu, di sini semalam.
Menurutnya, taska-taska yang diwujudkan pada masa sekarang adalah tepat pada masanya kerana ramai golongan ibu bekerja dan ia memudahkan mereka menjenguk anak-anak yang dijaga di taska.
Katanya kadar bayaran bulanan dikenakan adalah berpatutan dengan pelbagai kemudahan disediakan seperti bantuan yuran subsidi yang dapat meringankan beban ditanggung ibu bapa berbanding taska swasta di luar sana.
“Setakat ini, Sarawak mempunyai kira-kira 202 taska yang beroperasi di seluruh negeri dan jumlah ini dijangka meningkat berikutan keperluan semakin bertambah terhadap perkhidmatan itu,” jelasnya.
Beliau turut melahirkan syabas dan tahniah kepada Taska PERKIP Cawangan Bintulu yang berjaya mewujudkan taska bagi memudahkan kakitangan hospital menghantar anak-anak mereka untuk dijaga di pusat berkenaan.
Jelasnya, taska berkenaan secara tidak langsung menjadi sistem sokongan sosial buat para kakitangan yang mempunyai anak kecil dan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan.
“Subsidi sebanyak RM180 sebulan turut diberikan bagi setiap anak kepada ibu bapa yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan di kawasan bandar dan berpendapatan RM1,200 sebulan di luar bandar bagi taska komuniti,” ujarnya.
Pada sesi lawatan itu, Fatimah turut meluangkan masa kira-kira satu jam berjumpa pengasuh serta kanak-kanak yang dijaga di pusat jagaan itu bagi meninjau serta memantau pusat yang menempatkan seramai 27 kanak-kanak itu.
Hadir sama Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Pengerusi PERKIP Cawangan Bintulu Azahari Sobet dan Pengarah Hospital Bintulu Davis Johnraj.