Oleh Agnes Tugong //

PENGHARGAAN: Norjanah (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Rohani sebagai tanda penghargaan. Turut kelihatan Rosalind (kanan), Noorul Ainur, Lucie Newcomb dan yang lain.
Ia satu program penjagaan selepas bersalin untuk tingkat pendapatan isi rumah wanita berpendapatan rendah
KUCHING: Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat akan memperluaskan pelaksanaan Program Mama Care ke Sarawak dalam tempoh terdekat ini.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata Mama Care merupakan satu program penjagaan selepas bersalin untuk meningkatkan pendapatan isi rumah wanita berpendapatan rendah.
Mereka yang menyertai program ini akan diberikan latihan komprehensif selama seminggu dalam penjagaan pantang termasuk kemahiran mengurut tradisional sebelum diiktiraf dan diberikan sijil.
“Tahun ini kementerian telah merancang untuk memperluaskan program ini ke Sarawak yang mana ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.
“Tetapi sebelum ia boleh dilaksanakan di Sarawak, kementerian menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) perlu mengenal pasti para peserta terlebih dahulu.
“Ini kerana peserta yang diambil bagi mengikuti program ini adalah daripada kalangan mereka yang memiliki kemahiran dalam bidang perbidanan dan urutan tradisional,” katanya.
Rohani berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Keusahawanan Wanita anjuran Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat (AS) Kuala Lumpur.
Bertemakan ‘Building Your Future Today: Essential Steps for (Women’s) Entrepreneurial Success’, bengkel tersebut disertai kira-kira 50 peserta terdiri daripada usahawan wanita.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nor, Ahli Lembaga AZAM Norjanah Razali, Pengurus Besar AZAM Rosalind Yang Misieng dan penceramah jemputan Lucie Newcomb.
Terdahulu dalam ucapannya, Rohani berkata Program Mama Care merupakan inisiatif yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh LPPKN di bawah kementeriannya sejak tahun lepas.
Mama Care merupakan program jagaan selepas bersalin untuk meningkatkan pendapatan isi rumah wanita yang berpendapatan rendah.
Sejak dilaksanakan tahun lepas, seramai 91 wanita telah dilatih dan daripada 31 peserta ambilan pertama mereka mampu mencapai pendapatan bulanan antara RM1,500 hingga RM6,500.
Malah menurut Rohani, hasil daripada latihan komprehensif tersebut ada di kalangan mereka kini ditawarkan bekerja di luar negara khusus dalam bidang perbidanan dan urutan tradisional.
Tambah Rohani, di Malaysia kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja meningkat secara berterusan.
Pada 2007, kadar penyertaan tenaga kerja wanita adalah 46.4 peratus dan meningkat kepada 49.5 peratus pada 2012 dan 52.4 peratus pada 2013.
Sehubungan itu, kementerian katanya menyasarkan 55 peratus tenaga kerja wanita pada penghujung 2015.