Anda di sini

Pesta Benak: Enraz Cahaya Zen Dua ‘Raja Air’ Regata Batang Lupar 2014

Advertisement

SRI AMAN: Perahu Enraz Cahaya Zen Dua milik Datuk Razali Ibrahim dinobatkan sebagai Raja Air Regata Batang Lupar sempena Pesta Benak Sri Aman 2014 di Sungai Batang Lupar di sini petang kelmarin.

Perahu itu berjaya mengekalkan gelaran Raja Air Regata Batang Lupar 2014 menerusi acara Sakai 30 lelaki untuk tahun ketiga berturut-turut.

Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 berserta piala iringan yang lain.

Naib johan menerusi acara yang sama dimenangi Perahu Landas Satu milik Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman yang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 serta piala.

Manakala tempat ketiga pula disandang Perahu Sinaran Ratu Balkis milik Mohsin Bujang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200 berserta piala iringan.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Hadir sama isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri, ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak, Jonathan Lugoh dan Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawi Salleh serta tetamu lain.

Advertisement