Anda di sini

Penan Long Lilim dilimpahi perubahan

Advertisement

Oleh W. Bolly Ongie //

RUMAH panjang 52 pintu Long Lilim di Patah Abang, Ulu Baram, adalah antara perkampungan suku kaum Penan yang semakin maju dan membangun meskipun masih dalam keadaan serba sederhana dan berbeza daripada perkampungan Penan yang lain di Baram.

Meskipun hanya dapat dicapai dengan sembilan jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Miri, Kampung Long Lilim memiliki bangunan rumah serba moden beratap spandeks dengan perancangan serba teratur oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mereka.

Malah masyarakat Penan di Long Lilim sudah semakin aktif dengan aktiviti bercucuk tanam meskipun masih ada penduduknya yang keluar berburu ke hutan untuk menambah rezeki harian.

Malah aktiviti memburu masih dikekalkan masyarakat Penan di Patah Abang.

SOKONGAN: Dennis bersama Freddy (kiri) selesai penyerahan alat pemadam api untuk Rumah Long Lilim.

Utusan Borneo difahamkan kemajuan di Kampung Long Lilim semakin menyerlah berikutan pelantikan ketua kaum mereka yang baharu Tuai Kampung Freddy Laing, 48, yang juga merupakan bekas pastor di Gereja SIB.

Beliau dilantik bagi menggantikan abangnya TK Ngock Laing yang pernah berkhidmat sebelum ini.

Menurut Freddy, mereka (Penan) juga ingin berusaha mahu maju dan turut serta dalam pembangunan negeri sama seperti kaum lain seperti Iban, Kayan, Kenyah dan sebagainya, agar dapat sama-sama menerima pelbagai pembangunan dan bantuan yang disalurkan kerajaan.

Malah beliau mengakui bahawa kaum Penan memang lambat berubah untuk maju seperti kaum lain kerana masih ramai yang terpengaruh dan mudah mendengar dakyah pihak tidak bertanggungjawab yang suka menghasut dan ‘mengacau’ masyarakat kaum Penan untuk maju.

“Sebagai orang yang berpelajaran, saya berusaha membawa kami, kaum Penan ke hadapan dengan memulakannya melalui pembinaan rumah panjang baharu yang serba cantik, begitu juga dengan bangunan gereja kami yang tercantik di kawasan Patah Abang ini dan dilengkapi dengan dua unit alat pendingin hawa,” jelas beliau.

RUMAH LONG LILIM

Menurut Freddy, semua itu adalah hasil sumbangan pihak Syarikat Samling yang beroperasi di kawasan mereka.

“Sehubungan itu, kami amat berterima kasih kepada pihak (Kumpulan) Samling di atas bantuan dan sumbangan yang tidak ternilai itu.

“Malah sekarang kami sudah dapat menerangi kediaman dan perkampungan kami pada waktu malam menggunakan jana kuasa elektrik sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau yang mengadakan lawatan ke Long Lilim baru-baru ini turut menasihati mereka supaya sedia bercucuk tanam dengan bersawah padi dan sayur-sayuran lain, khususnya untuk keperluan sendiri dan boleh juga dijual bagi menampung pendapatan mereka.

Sebagai tanda penghargaan kepada penduduk di Long Lilim, Dennis turut meluluskan geran peruntukan kecil luar bandar daripada kerajaan berjumlah RM5,000 untuk Gereja SIB Long Lilim dan RM5,000 lagi untuk Pusat Daerah SIB kawasan Patah Abang.

Dennis dalam pada itu turut memuji kepimpinan Freddy kerana berani membawa masyarakat Penan di kawasannya keluar daripada belenggu kemiskinan.

Advertisement