KUCHING: Pelantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak tahun ini turut me-ngukir sejarah baharu kepada penganjuran Forum Remaja 2014 Piala TYT Peringkat Negeri anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Timbalan Pengarah DBP Negeri Dr Hazami Jahari berkata, pelbagai pembaharuan telah diambil dan dilaksanakan oleh penganjur sebagai tanda penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri baharu atas pelantikannya.
“Pada tahun ini sejarah terukir apabila kita telah mendapat TYT baharu.
“Justeru, sebagai penghargaan kepada beliau kami turut mengambil inisiatif menyediakan piala baharu kepada pemenang mulai tahun ini yang ditempah khas dari Semenanjung Malaysia.
“Mulai tahun ini juga kami menetapkan sekiranya pemenang mendapat johan tiga kali berturut-turut maka piala berkenaan akan menjadi milik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam bagi menyambut kedatangan peserta dari seluruh negeri ini di Hotel Penview Inn di sini, malam kelmarin.
Mengulas lanjut, pada tahun ini juga katanya, buat julung kalinya pertandingan akhir Forum Remaja yang secara tradisinya dilaksanakan di DBP Cawangan Sarawak akan diadakan secara langsung di Auditorium P. Ramlee yang akan dihadiri sendiri oleh Yang di-Pertua Negeri.
“Sudah tiba masanya kita ingin mengangkat Pertandingan Forum Remaja ini setaraf dengan Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri apabila pertandingan akhirnya turut diadakan di auditorium tersebut.
“Penambahbaikan ini diharap dapat meningkatkan semangat peserta untuk bertanding secara sihat dan berusaha menunjukkan bakat yang dimiliki di hadapan TYT,” jelasnya.
Tambah Hazami lagi, pembaharuan ketiga yang akan dilaksanakan pada tahun ini ialah pihak penganjur akan memberi ruang kepada Yang di-Pertua Negeri untuk menyampaikan ucapan semasa pertandingan akhir itu nanti.
“Lazimnya TYT hadir sebagai tetamu kehormat sahaja, tetapi kali ini kami akan memberi ruang dan peluang kepada beliau untuk menyampaikan ucapan sebagai panduan, galakan dan nasihat kepada kita semua terutama kepada para pelajar sekalian.
“Jadi, melalui tiga pembaharuan ini kita harap dapat memberi semangat yang kuat dan berkobar-kobar kepada setiap pasukan yang bertanding pada pertandingan akhir Forum Piala Remaja Piala Pusingan TYT pada tahun 2014 ini,” jelasnya.
Sementara, beliau berharap peserta dapat menimba pe-ngalaman baharu terutama dalam konteks melengkapkan diri sebagai seorang pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
“Dalam situasi sekarang ini, cukup ramai pelajar yang pandai (mendapat ba-nyak A dalam peperiksaan) tetapi dalam ramai-ramai itu yang akan menjadi nilai tambah kepada mereka ialah kemahiran berbahasa, berkomunikasi dan memberi hujah.
“Kemahiran itulah yang akan menjadi aset yang anda (pelajar) bawa bersama ke-cemerlangan yang dimiliki,” ujarnya.
Beliau turut menasihati pelajar walaupun mempunyai minat dalam aktiviti kokurikulum tetapi pada masa sama pastikan juga cemerlang dalam akademik tidak diabaikan.
Sebanyak 11 pasukan telah mengesahkan penyertaan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Saratok (Betong), SMK Luak (Miri), SMK Engkilili (Sri Aman), SMK Tatau (Bintulu), SMK Katibas (Kapit), SMK Agama Sibu (Sibu), SMK Bandar Samariang (Kuching), SMK St Anthony (Sarikei), SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud (Kota Samarahan), Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah (Kuching) dan SMK Oya (Mukah).
Pertandingan separuh akhir telah berlangsung di DBP semalam manakala tiga pasukan akhir yang berjaya akan berentap merebut Piala TYT di Auditorium P. Ramlee pada hari ini (Selasa).
Juga diijangka hadir pada pertandingan akhir itu nanti ialah Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.