Anda di sini

Pejabat SPDP kawasan tengah dikosongkan

Advertisement

SIBU: Pejabat Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) kawasan tengah yang terletak di Lorong Lanang, di sini dikosongkan dan ditutup semalam.

Selain itu, papan tanda serta bendera parti turut diturunkan.

Bekas Pengerusi SPDP Bukit Assek Kaunselor Tiong Yong Hing berkata, bangunan tersebut kini adalah milik persendirian dan tidak akan disewakan kepada sesiapa.

Mereka yang berminat mendapatkan semula papan tanda tersebut boleh mengambilnya di premis Advance Art and Advertising Design Company di Jalan Maju di sini.

“Dahuulu saya pinjamkan bangunan tersebut untuk kegunaan SPDP kawasan wilayah tengah melakukan sebarang aktiviti.

“Namun, hari ini semua ahli SPDP kawasan wilayah tengah menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan bersetuju  menurunkan papan tanda itu selain mengunci serta mengosongkan pejabat tersebut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kerja-kerja mengunci pejabat yang terletak di tingkat tiga itu dan menurunkan papan tanda dilakukan sekitar jam 11 pagi.

Turut hadir menyaksikan papan tanda diturunkan ialah bekas Pengerusi SPDP Bawang Assan Kaunselor James Laju dan bekas Pengerusi SPDP Nangka Radin Agan.

Menurut Tiong, bangunan tersebut dipinjamkan secara percuma sejak 24 Mei 2012.

Advertisement