SPRM sudah dapatkan perintah untuk sita akaun pegawai penguat kuasaPUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mendedahkan terdapat kes membabitkan pegawai penguat kuasa yang mempunyai simpanan RM1.5 juta hasil aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata pihaknya telah pun mendapat perintah untuk menyita akaun berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Terdapat juga kes pegawai penguat kuasa dikesan membeli lori, semata-mata untuk menjalankan aktiviti seludup diesel,” katanya pada sidang media mengenai kes penyeludupan diesel, di sini semalam.
Beliau berkata walaupun ia bukan tanggungjawab SPRM untuk menangani kes penyeludupan diesel namun suruhanjaya itu melihat kes berkenaan daripada sudut rasuah.
Katanya sejak 2010 sehingga kini, sebanyak 90 kes penyeludupan diesel telah disiasat dan telah menyebabkan kerajaan kerugian hampir RM50 juta.
Mohd Shukri berharap setiap kementerian yang terbabit dapat memastikan bahagian penguat kuasa yang menjaga minyak diesel menjalankan tangungjawab dengan amanah.
“Saya tidak mahu kata mana-mana kementerian yang terlibat, ambillah tangungjawab masing-masing, siapa makan cili dia rasa pedas,” katanya.
Selain itu beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula dasar pemberian diesel bersubsidi bagi mengekang kes penyeludupan.
“Cadangan itu pernah dinyatakan SPRM sebelum ini dan pihak kami bersedia untuk membantu dalam memberikan sebarang bentuk idea,” katanya. — Bernama