KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak bekerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) Kuala Lumpur dalam usaha membantu meningkatkan kemahiran keusahawanan di kalangan usahawan tempatan.
Sehubungan itu, kedua-dua pihak menganjurkan dua aktiviti, pertama Bengkel Keusahawanan Wanita yang berlangsung semalam di salah sebuah hotel terkemuka di sini disusuli siri ceramah bagi belia pada 20 Mei, juga di sini.
Kira-kira 50 usahawan wanita tempatan menyertai bengkel itu semalam yang dikendalikan jurulatih AS yang merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif NewCom Global Group.Inc Lucie Newcomb.
Ahli Lembaga AZAM Sarawak Norjanah Razali dalam ucapan alu-aluannya semalam berkata, kerjasama antara AZAM dan Kedutaan AS telah terjalin sejak pertengahan 1990-an dalam pelbagai aktiviti.
Antaranya, Bengkel Kewartawanan Untuk Media Tempatan, persidangan video mengenai topik alam sekitar dan budaya bagi kanak-kanak sekolah tempatan, program wanita luar bandar di Baram, program kepimpinan di AS serta forum sembang-sembang wanita.
“Kira-kira tiga tahun lepas, AZAM merupakan rakan utama dalam bekerjasama dengan Biro Wanita Negeri menganjurkan persidangan pertama keusahawanan wanita peringkat negeri di bandar raya ini.
“Bengkel hari ini merupakan satu lagi sumbangan AZAM dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur ke arah pembangunan populasi wanita.
“Adalah menjadi harapan bahawa kerjasama seperti ini akan berterusan pada masa akan datang bagi membolehkan kita mendapatkan kepakaran terbaik di seluruh dunia untuk manfaat wanita tempatan dan masyarakat tempatan secara keseluruhannya,” ujar Norjanah.
Penceramah Newcomb memberi fokus kepada tema ‘Building Your Future Today: Essential Steps for (Women’s) Entrepreneurial Success’.
Bengkel sehari itu dirasmikan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Dalam pada itu, Newcomb juga akan menyampaikan ceramah mengenai ‘Crafting Your Vision: The Next Step on the Roadmap to Success’ kepada kira-kira 100 belia pada 20 Mei.
Ceramah belia ini akan dibintangi usahawan belia tempatan dan pakar motivasi Feroz Hayat yang merupakan pengarah urusan Blankskript, fesyen pakaian dengan gabungan kreatif klasik dan moden yang ditubuhkan di Sarawak.