Anda di sini

Juventus cipta rekod baharu

Advertisement

Tamatkan musim dengan kutipan 102 mata dalam aksi terakhir Serie A Itali Ahad lepas

ROM, Itali: Satu tendangan percuma cantik Andrea Pirlo dari jarak 35 meter adalah antara gol kemenangan Juventus ketika menewaskan Cagliari 3-0 dan mencipta rekod baharu menamatkan musim dengan kutipan 102 mata dalam aksi terakhir Serie A Itali Ahad lepas.

Juventus sudah mengesahkan kejuaraan Serie A dengan berbaki dua perlawanan dua minggu lalu apabila pencabar terdekatnya, AS Roma tewas 1-4 di Catania, sehari sebelum mereka menang 1-0 ke atas Atalanta.

Sekarang, dengan kejuaraan liga rasmi yang ke-30 (selepas dua kejuaraan pada 2005 dan 2006 ditarik balik ekoran skandal mengatur perlawanan), Juventus mencipta dua rekod baharu minggu lalu apabila kemenangan 1-0 di Roma memberikan kemenangan ke-32 mereka musim ini dan kutipan mata ke-99.

Inter Milan memegang rekod lama dengan 97 mata ketika memenangi tiga kejuaraan pada musim 2006/2007.

Jurulatih Juventus, Antonio Conte, dijangka akan terus kekal di Turin walaupun laporan di mana beliau tidak gembira dengan kekurangan pelaburan ke atas pemain dalam usaha memburu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.

Juventus gagal melepasi pusingan pertama kejohanan elit Eropah pada musim ini.

Beliau memberitahu Sky Sport: “Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pemain, mereka semua bermain dengan sangat luar biasa.

“Objektif kami ialah memenangi kejuaraan liga yang ketiga berturut-turut tetapi kami juga mencipta rekod demi rekod,” katanya.

Ditanya tentang masa depannya, Conte menambah: “Malam ini adalah malam meraikan kejuaraan, masa saya bersama kelab akan dibincangkan kemudian.’

Berdepan dengan peluang untuk menjadi juara liga pertama yang melepasi angka 100 , Juventus tidak mengecewakan di hadapan penyokong penuh sesak di Stadium Juventus, sebelum perarakan meraikan kejayaan mereka di seluruh kota Turin.

Pirlo membuka jaringan dari satu tendangan percuma cantik yang terkena palang tetapi terkena penjaga gol Marco Silverstri dan masuk ke dalam pintu gol, dengan gol itu kemudian didaftarkan sebagai gol sendiri.

Ia mengurangkan tekanan awal Juventus, dan apabila Cagliari jelas tersentak dengan gol itu, Fernando Llorente berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-15 apabila satu tendangan sudut Pirlo dikuis oleh Leonardo Bonucci kepada Llorente.

Carlos Tevez kemudian mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol ketiga dan juga menghampiri penjaring terbanyak liga, Ciro Immobile, yang menjaringkan 22 gol untuk Torino, apabila tidak sempat melakukan rembatan.

Kemenangan ke-33 Juventus musim ini membolehkan mereka berada 17 mata di hadapan pencabar terdekat, Roma, yang menamatkan musim ini dengan kekalahan ketiga berturut-turut, tewas 0-1 di Genoa menerusi gol Giannis Fetfatzidis pada minit ke-83.

Jurulatih Roma, Rudi Garcia, yang mengesahkan bahawa beliau masih terus kekal di kelab pada musim hadapan apabila Roma kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara, ditanya tentang rekod 102 mata Juventus.

“Ini menunjukkan perkara itu berlaku dalam satu musim sahaja, sesuatu yang jarang berlaku,” kata beliau sambil menambah musim hadapan pastinya berbeza. — AFP

Advertisement