KUCHING: Penyebaran surat layang memburuk-burukkan Dato Sri Wong Soon Koh serta bersifat perkauman sejak beberapa hari lalu di bandar raya ini langsung tidak menggugat kedudukan beliau dalam Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat serta Menteri Kewangan Kedua itu memberitahu, isi kandungan surat layang berkenaan sengaja mengapi-apikan kaum Dayak selain menyuruh masyarakat Dayak tidak mempercayai ahli politik Cina di negeri ini.
“Apa yang dapat saya simpulkan surat bertarikh 16 Mei lalu itu merupakan cara musuh politik saya untuk mempengaruhi pengikut saya (daripada kaum Dayak) supaya tidak mengikut saya selain bertujuan mempengaruhi ahli TERAS lain agar tidak mempercayai saya.
“Namun begitu, saya yakin surat yang mendakwa daripada ahli TERAS yang turut mengutuk beberapa ahli politik Cina lain di negeri ini bukanlah daripada TERAS… apa yang boleh saya katakan ia daripada orang yang tidak sukakan saya (musuh politik saya),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media mengenai isu berkenaan di pejabatnya di sini, semalam.
Walaupun merupakan satu-satunya pemimpin kaum Cina yang menyertai TERAS, Wong percaya ahli TERAS yang lain khasnya Tan Sri William Mawan Ikom sentiasa menyokong dan bersama dengannya.
“Jangan risau tentang komposisi kaum dalam TERAS, walapun saya Cina tunggal (satu daripada sepuluh) kami tetap bekerjasama sebagai satu pasukan dan mereka akan membantu saya serta memberi kuasa kepada saya untuk menjaga komuniti Cina di negeri ini.
“Jadi, dengan asas tersebut kami boleh maju ke hadapan yang bukan hanya memberi fokus kepada komuniti Dayak tetapi komuniti Cina,” jelasnya.
Berikut merupakan antara kandungan surat layang berkenaan yang didakwa turut diberikan salinannya kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri:
“Sila ambil serius bahawa kami, TERAS tidak mengalu-alukan sesiapa pun ahli Cina SUPP untuk menyertai TERAS.
“TERAS merupakan parti Dayak dan hanya untuk orang Dayak sahaja.
“Kami tidak pernah mempercayai ahli politik Cina seperti James Wong Kim Min, Sng Chee Hua, Larry Sng, Tiong King Sing dan Wong Soon Koh.
“Semua mereka telah terbukti sebagai pembuat masalah serta mementingkan agenda peribadi di dalam parti berasaskan Dayak seperti SNAP, PBDS, PRS dan SPDP.”