Anda di sini

Dua pusat media untuk laporan SUKMA Perlis

Advertisement

KANGAR: Sekretariat Sukan Malaysia XVII (SUKMA Perlis) menyediakan dua pusat media untuk pengamal media membuat laporan kejohanan yang terletak di Stadium Utama dan Dewan Wawasan 2020 di sini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SUKMA Perlis, Jamaludin Jani berkata selain mempunyai komputer meja, pusat itu turut mempunyai kemudahan Internet berkelajuan tinggi dan Wi-Fi.

“Keputusan dari venue pertandingan akan sampai di kedua-dua pusat media itu dalam masa tiga minit selepas keputusan disahkan,” katanya semasa taklimat kepada pengamal media di sini semalam.

Beliau juga berkata tempat penginapan, bahan makanan, pengangkutan, keselamatan atlet dan pegawai serta venue pertandingan telah siap.

Penginapan utama peserta ialah di Universiti Malaysia Perlis di Pauh Putra, Kampung Wai (Kuala Perlis), Sungai Chucuh (Padang Besar), Universiti Teknologi Mara (Arau) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (Pauh Putra).

Jamaludin berkata semua atlet akan tinggal di Perlis kecuali atlet Brunei sebanyak 35 orang menginap di Hotel TH, Alor Setar, Kedah.

Kira-kira 10,000 atlet, pegawai dan sukarelawan terlibat dengan SUKMA Perlis bermula pada 24 Mei hingga 4 Jun.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dijadual merasmikan kejohanan dwitahunan ini pada 26 Mei manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka merasmikan penutupannya pada 4 Jun depan. — Bernama

Advertisement