Anda di sini

Dua lelaki miliki senapang guli ditahan

Advertisement

SARIKEI: Dua lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar dari kawasan Sare di sini ditahan reman tiga hari bermula Sabtu lalu kerana didapati memiliki dan menyimpan senapang guli.

Dalam kes terbabit, suspek pertama berusia 66 tahun ditahan hasil pemeriksaan polis di kediamannya yang menjumpai beberapa barangan berkaitan dengan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Dalam serbuan pada 16 Mei, jam 3.50 petang, polis merampas satu senapang guli dipercayai buatan sendiri, 15 biji guli dipercayai digunakan sebagai peluru, sebotol cecair spirit, lima unit peluru hidup senapang patah, satu unit peluru senapang patah yang digunakan, satu but senapang dipercayai buatan sendiri, sebilah pedang buatan sendiri dan dua laras senapang ikan buatan sendiri.

Sementara suspek kedua yang berusia 59 tahun, sewaktu polis menjalankan pemeriksaan di rumahnya pada jam 4.10 petang menjumpai satu senapang buatan sendiri, satu buluh paip diubah suai dipercayai sebahagian daripada senapang buatan sendiri dan satu buluh paip.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku senapang tersebut milik mereka dan digunakan untuk memburu binatang liar di kebun mereka.

Sehubungan itu, polis merampas dan menghantar senjata tersebut ke Bahagian Persenjataan untuk laporan pemeriksaan (ujian serviceability).

Sementara menunggu laporan tersebut, kedua-dua suspek dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Advertisement