Anda di sini

Dua lelaki ditangkap, senjata berbahaya, senjata api dirampas

Advertisement

SIBU: Polis di sini mencatatkan satu lagi kejayaan dengan penangkapan dua suspek dan merampas senjata berbahaya dan senjata api serta sebuah kereta Rabu lalu.

Timbalan Polis Sibu Superintenden Martin Koo berkata, kedua-dua suspek dipercayai terlibat mencuri sarang burung di Sibu, Kanowit, Sarikei dan Saratok.

“Polis percaya berjaya menyelesaikan lima kes di Sibu dan satu di Kanowit susulan penangkapan dua lelaki terbabit,” katanya di sini semalam.

Beliau percaya penahanan dua suspek terbabit akan membantu polis menyelesaikan beberapa kes.

Martin memberitahu, suspek berumur 25 dan 36 tahun masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah di Sungai Mauh, jam 11.15 pagi, Rabu lalu,” katanya.

Menurutnya, polis mendapati seorang lelaki berada di dalam sebuah kereta apabila melakukan serbuan di rumah terbabit.

Empat senapang angin buatan sendiri, sebilah pisau panjang, pedang samurai dan lima set HiFi dipercayai barang curi turut ditemui di dalam kereta berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan senapang angin digunakan suspek melakukan jenayah selain untuk tujuan memburu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberi maklumat dan membawa kepada penangkapan dua suspek tersebut.

Advertisement