Anda di sini

BN pilih Mah Siew Keong berdasarkan pengalaman dan jasanya di Teluk Intan

Advertisement

TELUK INTAN: Pengalaman dan jasa Datuk Mah Siew Keong membangunkan kawasan Parlimen Teluk Intan sebelum ini antara faktor beliau dipilih semula bagi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Mah, yang sebelum ini anggota Parlimen Teluk Intan selama dua penggal sejak pilihan raya umum 1999, amat dikenali di kawasan ini dan mampu berkhidmat kepada masyarakat di kawasan itu.

Beliau berharap 60,349 pemilih berdaftar di kawasan ini, termasuk 59,927 pengundi biasa, memberikan sokongan kepada Mah, yang merupakan anak jati Teluk Intan.

“Pucuk pimpinan memilih Mah berdasarkan penga-lamannya dalam kerajaan dan parti, (tambahan pula) masyarakat di kawasan itu mengenali beliau yang telah banyak berjasa kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Teluk Intan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak di sini, semalam.

Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah, 53, dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud, 27.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Ditanya mengenai Mah yang dianggap sebagai calon kitar semula, Muhyiddin berkata: “Ini bukan calon kitar semula. Saya dah beberapa kali ‘recycle’. Yang penting kita tahu apa harapan peng-undi di sini.”

Ini adalah kali kelima Mah bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan, dengan kali pertama pada PRU 1999 dan terakhir pada PRU 2013. Beliau memenangi kerusi itu pada PRU 1999 dan PRU 2004, dan kalah kepada calon DAP pada PRU 2008 dan PRU 2013.

Menyentuh mengenai ibu Dyana Sofya, iaitu Yammy Samat, 59, yang merupakan anggota UMNO, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional itu berkata ia bukan risiko kepada parti komponen itu.

“Kita tidak mengambil kira latar belakang (calon lawan atau DAP), siapa ibunya dan keluarganya. Yang penting, kita hendak menjual calon kita yang baik, segak, bertenaga dan banyak pengalaman,” katanya. — Bernama

Advertisement