Anda di sini

Wujudkan lebih banyak kemudahan berbasikal

Advertisement

Berbasikal mampu mengurangkan masalah kegemukan

KEPALA BATAS: Semua kerajaan negeri digesa mewujudkan lebih banyak kawasan atau laluan untuk kemudahan berbasikal bagi menggalakkan orang ramai bersenam dan menggunakan basikal.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata aktiviti berbasikal juga mampu mengurangkan masalah kegemukan yang dihadapi rakyat negara ini sekali gus mengurangkan risiko penyakit berbahaya.

“Walaupun sudah ada beberapa kawasan yang mempunyai laluan berbasikal di negara kita, namun jumlah itu perlu ditambah dalam usaha kita menggalakkan orang ramai berbasikal kerana ia satu daripada cara bersenam.

“Cara itu (berbasikal) juga dapat mengurangkan masalah kegemukan kerana sekarang ini Malaysia mencatat kadar bilangan orang gemuk tertinggi di Asia Tenggara.

“Menurut statistik, setiap seorang daripada tiga orang rakyat Malaysia mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) lebih daripada biasa dan kebanyakannya melebihi 25,” katanya berucap merasmikan Kempen Berbasikal ‘Go Green 2014’ sempena Bulan Pengguna Kebangsaan peringkat Pulau Pinang, di sini semalam.

Sebanyak 2,500 peserta menyertai program anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang itu.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur program itu Ooi Kim Aun berkata kempen berbasikal yang dianjurkan setiap tahun itu bertujuan menggalakkan orang ramai berbasikal dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Sejak 2007, kami menganjurkan kempen berbasikal seperti hari ini dan setiap tahun jumlah peserta bertambah. Tahun ini 2,500 peserta berbasikal sejauh 10 kilometer,” katanya. — Bernama

Advertisement