Anda di sini

Upacara sambutan rasmi bagi Najib di Istana Presiden Abu Dhabi

Advertisement

LAWATAN RASMI: Najib mengadakan pertemuan dengan Sheikh Mohammed selepas menerima sambutan rasmi ketibaan Perdana Menteri di Istana Mushrif (Istana Presiden) di Abu Dhabi, semalam. — Gambar Bernama

ABU DHABI: Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menghamparkan sambutan besar-besaran di Istana Mushrif di sini pada Ahad untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan lawatan rasmi ke negara ini.

Di tengah-tengah cuaca yang cerah pada tengah hari, Putera Mahkota Abu Dhabi, Putera Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dalam suasana mesra menyambut Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika pasangan itu tiba di pekarangan Istana Presiden.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara kemudian dimainkan dengan diselangi tembakan meriam 21 das.

Perdana Menteri dan Putera Mahkota kemudian menuju ke Dewan Majlis 1 untuk kedua-dua pemimpin diperkenalkan kepada delegasi kedua-dua pihak sebelum mengadakan mesyuarat tertutup.

Ini merupakan lawatan rasmi Najib yang kedua ke UAE sejak menjadi perdana menteri pada April 2009.

Najib yang tiba di ibu negara UAE ini malam kelmarin untuk lawatan rasmi tiga hari, mempunyai aturcara yang padat semalam.

Beliau antara lain dijangka menyaksikan majlis pemeteraian beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) yang akan mewujudkan usaha-usaha baharu dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

Dua MoU, terutama dalam bidang pelancongan dan pendidikan tinggi serta perjanjian kerjasama berhubung dengan hal ehwal Islam akan dimeterai di Istana Mushrif dengan disaksikan oleh Najib dan Putera Mahkota.

MoU mengenai pelancongan akan mempertingkatkan lagi kerjasama dalam aktiviti berkaitan pelancongan antara Majlis Pelancongan dan Antikuiti Kebangsaan UAE dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

UAE merupakan satu daripada pasaran pelancongan yang amat penting bagi Malaysia. Pada 2013, seramai 19,880 pelancong dari rantau itu melawat Malaysia berbanding 18,233 pelancong pada 2012, pertambahan sebanyak 9.3 peratus.

Sebaliknya, UAE adalah destinasi pelancongan rakyat Malaysia. Pada 2013, seramai 19,830 rakyat Malaysia melawat UAE, meningkat 8.76 peratus daripada 18,233 yang dicatatkan pada 2012.

MoU mengenai kerjasama dalam bidang Pendidikan Tinggi antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik, UAE dan Kementerian Pelajaran Malaysia akan merintis jalan ke arah kerjasama rapat yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

Perjanjian antara Yayasan Pembangunan 1Malaysia Berhad (1MDB) dan Kerajaan Abu Dhabi melalui Pihak Berkuasa Am Hal Ehwal Islam dan Waqaf (AWQAF), UAE antara lain akan menyaksikan pembinaan sebuah masjid, pusat sumber Islam dan Pusat Permata iaitu hasil ilham Rosmah.

Dalam bidang ekonomi, pemeteraian MoU antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lulu International Group yang berpusat di Abu Dhabi iaitu rangkaian hypermarket terbesar di Timur Tengah akan menyediakan pentas yang lebih bermakna bagi kerjasama perniagaan kerana perdana menteri juga dijadual menyaksikan majlis pemeteraian hari ini.

MoU itu akan memupuk pemasaran produk makanan Malaysia di hypermarket LULU dan memperluaskan skop pasaran debngan penubuhan hypermarket di Malaysia.

Walaupun mempunyai atur cara yang sibuk, di Abu Dhabi semalam, Najib dan Rosmah juga dijadual berlepas ke Dubai untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Teramat Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai.

Najib juga dijadual melawat Pulau Al Maryah, yang terletak di tengah-tengah pusat perniagaan baharu Abu Dhabi, diikuti dengan jamuan malam yang dihoskan oleh UAE. — Bernama

Advertisement