Anda di sini

SWP masih kekal dengan pendirian untuk sertai PR

Advertisement

KUCHING: Parti Pekerja Sarawak (SWP) masih kekal dengan pendirian mereka bahawa tidak ada perubahan bagi hala tuju parti itu untuk terus menyertai Pakatan Rakyat (PR).

Presidennya Larry Sng berkata pendirian mereka kini ialah memberi ‘tempoh bertenang’ (cooling-off period) dan ia masih kekal.

“Tiada perubahan kepada hala tuju parti sejak mesyuarat Majlis Tertinggi terakhir iaitu beberapa hari lalu.

“Bagi kami sebagai sebuah parti, kami belum mengubah pendirian kami berhubung perkara ini namun pada masa yang sama kami mahu memberi tumpuan dan mengukuhkan kedudukan kami yang sedia ada,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SWP di sini, kelmarin.

Larry yang ditanya mengenai penangguhan keputusan oleh PR menerima kemasukan SWP itu berkata, pakatan adalah sebuah persatuan longgar.

Sebelum penubuhan majlis mereka kata beliau, beberapa keputusan dibuat pada peringkat negeri dan sebahagian keputusan dibuat pada peringkat persekutuan.

“Dalam perbincangan saya dengan mereka, ia tidak jelas ketika itu siapa yang membuat keputusan, sama ada pada peringkat negeri atau persekutuan.

“Apabila saya bercakap dengan kepimpinan persekutuan, mereka kata biar kepimpinan negeri memutuskan begitu sebaliknya apabila saya bercakap dengan kepimpinan negeri, mereka kata biar kepimpinan persekutuan menentukan,” tegas beliau.

Justeru katanya, apa yang terbaik bagi mereka adalah untuk menunggu dan melihat hala tuju yang lebih jelas.

Mengulas mengenai kerusi yang akan ditandingi SWP pada pilihan raya negeri akan datang, Larry memberitahu bahawa empat kawasan sudah diumumkan tetapi pengumuman seperti itu boleh berubah menjelang pilihan raya yang akan diadakan dua tahun dari sekarang.

Beliau berkata SWP akan turun ke peringkat akar umbi dan mengukuhkan sokongan dan dari situ mereka akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai jumlah kerusi atau jumlah kerusi jelas yang parti mahu menangi.

Antara empat kerusi yang telah diumumkan beliau sebelum ini adalah DUN Pelagus, Meluan, Engkilili dan Tamin.

Berhubung kesan penubuhan parti baharu, iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) kepada SWP, Larry berkata beliau percaya ia bukan sahaja memberi kesan kepada parti itu tetapi parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Ini adalah perubahan dalam landskap politik dan secara peribadi, saya mahu melihat keadaan ini reda sebelum kita dapat mengulas lanjut kerana banyak perubahan akan berlaku, banyak kenyataan, banyak berita, banyak maklumat baharu yang akan keluar menerusi media dan parti masing-masing dan daripada pemimpin juga yang mungkin akan mengubah landskap politik.

“Kami sebagai sebuah parti perlu bertindak selaras dengan perkembangan ini,” katanya.

Advertisement